Cubaan seludup PATI guna MPV mewah tumpas

Hasil pemeriksaan ke atas MPV itu PGA berjaya menahan 14 lelaki dan enam wanita Myanmar yang dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan tidak sah.
Hasil pemeriksaan ke atas MPV itu PGA berjaya menahan 14 lelaki dan enam wanita Myanmar yang dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan tidak sah.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Cubaan dua tekong darat menggunakan kenderaan pelbagai guna mewah (MPV) jenis Toyota Estima untuk mengangkut 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar gagal selepas dicekup anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di Kampung Tasek Pauh di sini pada Khamis.

Dua lelaki tempatan yang masing-masing berusia 25 dan 40 tahun itu ditahan pada jam 12.30 tengah malam.

Pegawai Pemerintah Medan Op Wawasan Kelantan, Deputi Superintendan Ramesh Krishnan berkata, ketika MPV itu ditahan salah seorang lelaki warga tempatan yang berada di tempat duduk penumpang hadapan telah bertindak melarikan diri.

"Bagaimanapun, anggota PGA berjaya menahan semula lelaki berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas MPV itu PGA berjaya menahan 14 lelaki dan enam wanita Myanmar yang dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan tidak sah selain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, PGA turut menahan seorang lagi warga tempatan yang bertindak sebagai pemandu MPV itu.

"Kesemua PATI itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!