Segera lakukan semakan tarif air baharu
Jaseni (kiri) bersama Kon Yeow (dua dari kiri) ketika meninjau pusat pentadbiran Loji Rawatan Air Sungai Dua, di Butterworth pada Jumaat.
A
A
A
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, sudah tiba masanya semakan tarif air dibuat oleh kerajaan selepas ia tertangguh berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara baru-baru ini.
Menurutnya, menteri terbabit harus berani membuat keputusan dalam penetapan tarif baharu dan sekiranya ia masih lagi ditangguhkan akan menyebabkan syarikat bekalan air berdepan masalah kewangan, sekali gus menjejaskan kualiti perkhidmatan bekalan air.
"Kali terakhir semakan dibuat pada tahun 2015, kalau tertangguh lagi kita bimbang ia akan menjejaskan kualiti perkhidmatan bekalan air disebabkan syarikat tidak mempunyai dana yang mencukupi.
"Disebabkan itu, ia juga akan menjejaskan petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan dalam menyediakan perkhidmatan air yang terbaik untuk rakyat di negeri ini," katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian pusat pentadbiran Loji Rawatan Air Sungai Dua, di sini pada Jumaat.
Hadir merasmikan, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Pengerusi PBAPP, Chow Kon Yeow.
Jaseni berkata, tarif air domestik Pulau Pinang sedia ada untuk 35,000 liter pertama sebulan pada RM0.32 sen setiap 1,000 liter adalah yang terendah di Malaysia.
Beliau berkata, dengan penetapan tarif air baharu ia juga antara usaha dalam menjimatkan penggunaan air di negeri ini selain dapat menguruskan dengan lebih baik permintaan air yang semakin meningkat pada masa ini.
"Itu satu cara yang terbukti contohnya di Singapura bila tarif air ditetapkan pada kadar tertentu, mereka guna paling kurang tetapi berbeza di sini bila air kita murah orang guna secara berlebihan," katanya.
Tahun lalu Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya sedang membangunkan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) Air yang lebih adil dan telus untuk seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jelasnya, di bawah mekanisme itu, tarif akan disemak yang menyaksikan ada pengguna perlu membayar kadar lebih tinggi, manakala mereka yang menggunakan jumlah air sedikit dan kumpulan B40 dikenakan kadar yang rendah atau percuma.
"TSM yang adil dan telus adalah perlu bagi memastikan syarikat bekalan air dapat menampung kos dan perbelanjaan modal, sekali gus menambah baik perkhidmatan air kepada pengguna di semua negeri.
"Pada masa sama, ia juga dapat membantu golongan tidak berkemampuan mendapatkan bekalan air bermutu pada harga rendah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!