Imigresen tempatkan pegawai khas urus pasport

Pemohon masih perlu hadir ke kaunter untuk mengambil pasport yang sudah diluluskan namun tidak perlu menunggu lama di kaunter. - Gambar kecil: Khairul Dzaimee
Pemohon masih perlu hadir ke kaunter untuk mengambil pasport yang sudah diluluskan namun tidak perlu menunggu lama di kaunter. - Gambar kecil: Khairul Dzaimee
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) akan mula menempatkan pegawai khas di pejabat Imigresen sekitar Lembah Klang bagi mengatasi masalah kesesakan berhubung urusan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan pegawai Imigresen yang tugasnya khusus berkaitan kelulusan PMA sahaja.

Menurutnya, ujian percubaan yang dijalankan oleh pihaknya di kaunter Imigresen di Johor menunjukkan perkembangan positif dalam usaha mengurangkan kesesakan.

“Lapan pegawai Imigresen sudah dihantar ke Johor dan tugas mereka adalah untuk memberi kelulusan (pasport) sahaja dan tidak membabitkan lain-lain urusan.

“Formula berkenaan juga akan digunakan untuk Lembah Klang yang akan bermula minggu hadapan. Kami sedang mengumpulkan pegawai dari negeri lain untuk dibawa ke kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kerajaan Parcel D pada Jumaat.

Pada masa sama, katanya, pihak Imigresen turut mengkaji untuk menggunakan gambar sedia ada di dalam sistem bagi pemohon berusia 30 tahun ke atas yang mahu memperbaharui pasport mereka untuk mempercepatkan proses kelulusan.

Bagaimanapun katanya, pemohon masih perlu hadir ke kaunter untuk mengambil pasport yang sudah diluluskan namun tidak perlu menunggu lama di kaunter.

“Pasport tidak boleh dihantar secara pos kerana ia dokumen keselamatan yang tinggi selain ia amat dikehendaki oleh orang luar. Sebab itu kadangkala (kelulusan) lambat kerana pemeriksaan juga perlu dibuat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!