Tiada jemaah Malaysia di Arab Saudi dijangkiti Covid-19
KOTA BHARU - Kesemua jemaah haji yang sudah berada di tanah suci untuk mengerjakan rukun Islam kelima setakat ini disahkan bebas daripada jangkitan Covid-19.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap semua jemaah yang sudah berlepas sejak 3 Jun lalu.
"Alhamdulillah semua jemaah haji kita berada dalam keadaan baik di sana dan bebas daripada jangkitan tersebut," katanya ketika ditemui di Majlis Lambaian Kaabah di Parlimen Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.
Menurutnya, bagaimanapun semua jemaah sentiasa diingatkan supaya terus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Beliau berkata, para jemaah perlu terus kekal menjaga kesihatan sepanjang berada di tanah suci.
Ahmad Marzuk berkata, langkah itu bagi mengelakkan para jemaah sentiasa sihat dan dapat mengerjakan ibadah itu dengan sempurna mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh agama.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, pergerakan jemaah haji Malaysia di tanah suci berjalan lancar.
"Kesemua mereka bergerak dalam kumpulan sekali gus memudahkan para petugas di sana," katanya.
Seramai 14,306 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadat rukun Islam kelima itu pada tahun ini dan mereka dijadual tiba di Madinah serta Makkah secara berperingkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!