[VIDEO] Tersalah tekan pedal minyak punca wanita dirempuh
TAWAU - Tersalah tekan pedal minyak punca seorang wanita dirempuh kenderaan dalam kejadian di sebuah di stesen minyak di Jalan Sin On, di sini, pada Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 52 tahun yang berada di hadapan kaunter stesen minyak itu bagaimanapun bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Exora yang dipandu wanita berusia 54 tahun dan seorang pejalan kaki.
"Kejadian berlaku ketika pemandu kenderaan yang dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Ranggu menuju ke Kampung Muhibbah telah singgah ke stesen minyak terbabit untuk mengisi minyak.
"Selepas selesai mengisi minyak, pemandu berkenaan menghidupkan kenderaannya dan menekan pedal minyak yang disangka pedal brek dan seterusnya menyebabkan kenderaan terbabit meluncur laju lalu merempuh dinding kaunter serta seorang wanita yang kebetulan berada di kaunter pembayaran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jasmin berkata, akibat kejadian itu menyebabkan dinding kaunter retak manakala pemandu tidak mengalami kecederaan namun kenderaannya rosak di bahagian hadapan.
"Wanita yang dilanggar pula mengalami luka di bahagian kaki sebelah kanan.
"Hasil siasatan mendapati pemandu warga asing itu tidak mempunyai lesen memandu," katanya.
Bagaimanapun, Jasmin berkata, kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum itu, satu video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 29 saat memaparkan detik cemas seorang wanita yang berada di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak dirempuh oleh sebuah kenderaan yang baru selesai isi minyak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!