RM500,000 bantu usahawan wanita Perak

Wan Norashikin (dua dari kiri) melihat hasil gubahan dan kreativiti peserta Kemas di Kampung Gajah.
Wan Norashikin (dua dari kiri) melihat hasil gubahan dan kreativiti peserta Kemas di Kampung Gajah.
A
A
A

PASIR SALAK - Kerajaan Perak memperuntukkan RM500,000 bagi membantu 500 usahawan kecil menerusi program Pengupayaan Ekonomi Wanita Pakej Ransangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera 2022.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, program Mentor Menti Yong (M2Yong) itu adalah usaha membantu golongan terbabit menambah modal dan bantuan perbelanjaan operasi perniagaan mereka.

"Setakat ini, sebanyak 332 permohonan telah diterima menerusi dalam talian dan hadir di Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat negeri (Wanita Perak).

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM300,000 diperuntukan kepada kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Speaker untuk diberikan kepada pemohon," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Quick Win 'Qu Kis' anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pusat Kegiatan Kemas Pasir Salak, Kampung Gajah di sini pada Jumaat.

Wan Norashikin (dua dari kanan) merasmikan Quick Win 'Qu Kis' Kemas Parlimen Pasir Salak.
Wan Norashikin (dua dari kanan) merasmikan Quick Win 'Qu Kis' Kemas Parlimen Pasir Salak.

Hadir sama, Penolong Pengarah Pembangunan Komuniti dan Kemahiran Kemas negeri, Muhammad Hilmi Ali.

Menurutnya, maksimum RM1,000 diberikan sekiranya permohonan diluluskan dan ia disalurkan dalam tempoh terdekat.

Kata Wan Norashikin, pihaknya kini dalam proses tapisan bagi memastikan peruntukan itu benar-benar sampai kepada golongan yang disasarkan.

"Kita mahu membantu mereka yang hendak bangkit semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan atau menjual dari rumah.

"Sebelum ini kita bagi kiosk namun, ada sesetengah pemohon perlukan suntikan modal untuk beli peralatan dan sebagainya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!