Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir
BEREGU nombor satu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah meneruskan momentum positif dalam kempen Kejuaraan Badminton Masters Indonesia di Stadium Istora Senayan, Jakarta apabila menewaskan gandingan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.
Pearly Tan-Thinaah berstatus pilihan keenam kejuaraan ternyata tampil dengan aksi luar biasa untuk menang ke atas pilihan keempat itu 21-11, 21-16 dalam masa 44 minit.
Kemenangan Pearly Tan-Thinaah berstatus ranking ke-10 dunia ke atas gandingan nombor lapan tersebut membolehkan mereka mengesahkan slot separuh akhir berdepan pilihan ketujuh Fadia Silva Ramadhanti-Apriyani Rahayu.
Gandingan tuan rumah yang masih hangat dengan kalungan pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021 itu berjaya mengesahkan kemaraan apabila bangkit menewaskan Lee So Hee-Shin Seung Chan.
Beregu itu bangkit selepas tewas set pertama untuk menghantar pulang pilihan kedua kejuaraan dengan kemenangan sensasi 15-21, 21-16, 21-16 dalam tempoh satu jam 13 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!