Sanrawat perkuat posisi tengah Sang Kenari
KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengumumkan pemain Bangkok United FC, Sanrawat Dechmitr sebagai pemain pinjaman pasukan tersebut bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2022.
Kehadiran pemain berusia 32 tahun itu bakal memperkuatkan bahagian tengah skuad Sang Kenari sekali gus mengisi slot pemain ASEAN bagi menggantikan Dennis Buschening yang masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan.
Sebelum ini, pemain yang dikenali sebagai Camp ini telah dipinjamkan ke Ratchaburi Mitr Pol di Liga 1 Thailand.
Pengalaman Sanrawat sebagai pemain kebangsaan Thailand dan antara pemain senior di Bangkok United FC pasti menjadi tumpuan peminat tempatan.
Karakter dan corak permainan fizikalnya cukup dikenali dan mampu memberikan tekanan kepada pemain lawan dalam saingan Liga Malaysia dan juga Piala AFC 2022.
Pemain yang mempunyai ketinggian 1.81 meter itu akan membuat penampilan bersama KDA FC pada perlawanan Pra-Piala AFC bertemu Perak FC di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!