Mansuh hukuman mati: Bukti kerajaan perkukuh perundangan negara

Dr Afif Bahardin
Dr Afif Bahardin
A
A
A

GEORGETOWN - Keputusan kerajaan yang memansuhkan hukuman mati mandatori membuktikan komitmen dan keutamaan kerajaan untuk meneruskan agenda pembaharuan dan pengukuhan insititusi perundangan negara.

Timbalan Pengerusi Biro Penerangan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Afif Bahardin berkata, langkah itu sekali gus menjamin hak keadilan dan kesaksamaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta agama.

"Saya menyambut baik pendirian kerajaan bagi memansuhkan hukuman mati mandatori dengan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori, yang diumumkan susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian pada 8 Jun yang lalu.

"Saya juga menyambut baik keputusan jemaah menteri yang telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, salah satunya kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya turut melahirkan penghargaan kepada kerajaan Perikatan Nasional khususnya Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan anggotanya yang membuat ketetapan baharu itu.

Jelasnya, kesemua yang terlibat terdiri daripada pakar bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguamcara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.

"Semoga dengan langkah progresif yang diambil ini membuka kepada lebih banyak ruang untuk reformasi perundangan terus berjalan di dalam institusi penting negara seperti institusi kehakiman dan perundangan," ujarnya.

Sebelum itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara Mahkamah.

Menurutnya, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

"Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!