Hukuman mati tetap ada tapi hakim diberi pilihan guna budi bicara: PM
BERA - Beberapa perkara perlu diperincikan dan diperkemaskan lagi selepas kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara dasarnya kerajaan bersetuju dengan perkara tersebut.
"Cuma ada beberapa pandangan dari Menteri Undang-Undang dan sebagainya perlu diperkemaskan lagi dan diperincikan.
"Secara dasarnya mandatori itu diberikan kepada hukuman pilihan iaitu hukuman mati pun boleh atau hukuman lain seperti seumur hidup dan sebagainya diberikan," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau ditemui sempena perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) kali ke-23 di Dewan Padang Luas Majlis Daerah Bera di sini.
Hadir sama, Presiden POASM, Norya Abas dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
Ujar Ismail Sabri lagi, pemansuhan hukuman mati mandatori bukan bermaksud tiada lagi pelaksanaan hukuman mati dalam sistem keadilan jenayah negara.
Sebaliknya, beliau memberitahu, hukuman mati tetap ada cuma tiada lagi mandatori bagi memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.
Jelasnya, ia bagi memberi peluang kedua kepada pesalah bergantung atas budi bicara hakim layak memperolehnya.
"Mesyuarat kabinet minggu lalu, kita dapat laporan jawatankuasa berkaitan untuk melihat cadangan hukuman mandatori dipinda, hukuman mati tidak dimansuh kena faham ia masih kekal ada, tetapi mandatori ditukar kepada budi bicara.
"Kalau sekarang sebagai contoh Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) hakim tiada pilihan terikat dengan mesti jatuhkan hukuman mandotari sedangkan kadang-kadang melibatkan anak-anak muda umur 18 tahun, hakim mungkin punya pandangan anak muda ini teraniaya ada dadah dalam beg tapi tidak dapat buktikan siapa yang bagi.
"Akhirnya hakim tiada pilihan perlu jatuhkan hukuman gantung sampai mati mandotari walaupun hakim anggap budak muda ini patut diberikan peluang untuk hidup dan boleh berubah baik," ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, setiap manusia perlu diberikan peluang kedua.
"Kalau dia rasa itu memang penjenayah tegar, mengedar dadah menyebabkan ribuan orang mati, boleh dijatuhkan hukuman mati dan kalau ikut budi bicara hendak beri hukuman seumur hidup dengan sebat sekali, jadi dia boleh pinda hukuman mandatori kepada hukuman lebih ringan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!