Perkeso, IJN jalin kerjasama melalui Program Social Synergy
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengukuhkan komitmennya dalam menerajui usaha memacu revolusi keselamatan sosial di negara ini dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Jantung Negara (IJN) menerusi Program Social Synergy pada Jumaat.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam beberapa bidang termasuk perkongsian data, publisiti dan promosi program pencegahan serta pelbagai lagi aktiviti lain dari semasa ke semasa.
Kerjasama itu antara lain akan memastikan kesejahteraan pesakit dan keluarga IJN dapat dipelihara dan dilindungi menerusi faedah yang disediakan oleh semua agensi yang bekerjasama dalam program berkenaan.
“Menerusi Program Social Synergy, Perkeso membuktikan bahawa agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia ini bukanlah eksklusif kepada pencarumnya semata-mata.
“Sebaliknya, program ini yang bersandarkan kepada prinsip No Wrong Door Policy turut boleh dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya buat mereka yang memerlukan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Majlis menandatangani MoU itu menyaksikan Mohammed Azman mewakili Perkeso, manakala IJN diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Dr Aizai Abdul Rahim.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, sejak 2020 hingga Mac tahun ini, statistik Perkeso menunjukkan terdapat lebih 10,000 prospek atau kes yang telah berjaya disalurkan ke pelbagai agensi berkaitan menerusi Portal Sistem MySynergy di bawah Program Social Synergy yang dibangunkan secara ‘in-house’ oleh pihaknya.
Katanya, prospek-prospek ini seterusnya telah dibantu oleh agensi-agensi terbabit berdasarkan kesesuaian dan keperluan masing-masing.
"Program Social Synergy Perkeso yang telah dilancarkan pada Ogos 2017, menyediakan satu platform ekosistem keselamatan sosial yang sistematik, komprehensif dan bersepadu buat rakyat Malaysia menerusi gabungan dan kolaborasi daripada pelbagai rakan strategik merangkumi agensi kerajaan dan bukan kerajaan di negara ini.
"Program ini menjadi pusat sehenti menawarkan perlindungan keselamatan sosial yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia dengan matlamat utama untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.
Tambahnya, tahun 2020 menyerlahkan lagi fungsi Program Social Synergy di mana pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah menyedarkan banyak agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk menggembleng tenaga bagi membantu masyarakat dihimpit pelbagai kesulitan seperti kehilangan pekerjaan, kematian, hilang upaya, masalah sara hidup dan seumpamanya, sekaligus membuka akses kepada perlindungan untuk seluruh rakyat Malaysia.
Ujarnya, maklumat lanjut boleh dirujuk menerusi laman sesawang Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi nombor Careline Perkeso menerusi talian 1-300-22-8000 atau e-mel ke perkeso@perkeso.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!