Fadlun dilantik Pengerusi PPj ke-7
KUALA LUMPUR - Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) baharu menggantikan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pelantikan Fadlun sebagai Pengerusi Perbadanan Putrajaya yang ketujuh adalah selaras dengan perenggan 5(1)(a) Akta Perbadanan Putrajaya 1995 [Akta 536].
Menurutnya, Fadlun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia dan mempunyai 27 tahun pengalaman sebagai penjawat awam khususnya di pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk 22 tahun perkhidmatan di PPj.
"Beliau memulakan kerjaya di PPj sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa pada Mac 2000 dan jawatan terakhir adalah Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat), PPj, " katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, tempoh perkhidmatan selama 22 tahun di PPj memberi kelebihan kepada Fadlun untuk mengemudi perbadanan itu atas kapasiti pengetahuan dan kemahiran yang luas selain pengalaman mendalam berkaitan pengurusan bandar raya serta dasar-dasar perancangan di Putrajaya.
"Saya percaya dengan pengalaman serta daya kepimpinan dan kredibiliti dimiliki, beliau berupaya memperkasakan lagi tadbir urus dan menerajui PPj untuk terus cemerlang ke arah mencapai Putrajaya Bandaraya Pentadbiran Mampan Bertaraf Dunia.
"Saya bagi pihak kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan ini," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan serta khidmat bakti Muhammad Azmi Mohd Zain sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Presiden merangkap Pengerusi PPj sejak 1 Oktober 2020 hingga 15 Disember 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!