206 pemenang Anugerah BSN SGSP terima ganjaran berjumlah RM295,400
PUTRAJAYA - Bank Simpanan Nasional (BSN) meraikan 206 pemenang Anugerah Bank Simpanan Nasional (BSN) Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) tahun 2021 yang menerima ganjaran wang tunai keseluruhan berjumlah RM295,400.
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, mereka diraikan menerusi Majlis Anugerah BSN SGSP yang diadakan untuk menyokong hasrat kerajaan ke arah membentuk masyarakat Malaysia yang celik kewangan.
Kata beliau, SGSP merupakan pertandingan skim simpanan yang diadakan secara tahunan, penyertaannya terbuka kepada murid dan pelajar sama ada peringkat sekolah rendah, menengah atau pihak sekolah.
“Pemenang pertandingan ditentukan berdasarkan peningkatan bersih jumlah simpanan, kekerapan simpanan dan juga purata simpanan sekolah sepanjang tahun bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2021. Sebanyak dua kategori utama dipertandingkan iaitu Kategori Individu dan Kategori Sekolah.
“Dalam majlis anugerah SGSP kali ini, BSN turut memperkenalkan kategori Sekolah Pendidikan Khas bagi memperkasakan lagi tabiat menyimpan dalam kalangan murid-murid secara menyeluruh. SGSP menerima sambutan penyertaan yang cukup memberangsangkan daripada murid, pelajar dan sekolah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kesemua pemenang menerima hadiah yang disampaikan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Jay memaklumkan, sehingga April lalu, lebih 800,000 orang murid dan pelajar serta lebih 9,000 buah sekolah di Malaysia menyertai SGSP dengan jumlah simpanan sebanyak RM537 juta.
Sementara itu, kata beliau, bermula tahun ini, anugerah SGSP akan digantikan dengan program yang ditambah baik dan lebih komprehensif iaitu ‘Program Insentif BSJ’.
“Program ini merangkumi skim simpanan dalam format pertandingan dan juga aktiviti kokurikulum, ia turut memberikan ganjaran kepada murid dan sekolah berdasarkan pengumpulan mata ganjaran bulanan.
“Terdapat dua kategori penyertaan iaitu Kategori Murid dan Kategori Sekolah yang diambil kira bagi menentukan pemenang.
Selain mengambil kira peningkatan simpanan murid atau sekolah, program ini turut mementingkan kadar penyertaan dalam aktiviti atau program, pencapaian akademik atau sukan, penglibatan dalam Program Sekolah Tanpa Tunai BSN serta perwakilan sekolah untuk acara sukan pada peringkat negeri atau kebangsaan,” ujarnya.
Dari segi kelayakan penyertaan pula, Jay menjelaskan, pemegang Akaun Simpanan BSN di bawah BSN Smart Junior (BSJ) berumur tujuh ke 20 tahun atau Skim Galakan Simpanan Pelajar BSN (BSN SGSP) berumur tujuh ke 17 tahun layak menyertai program tersebut.
Ujarnya, selain itu, murid dan pelajar turut berpeluang melakukan pelbagai aktiviti lain di bawah program itu seperti Cabaran Media Sosial BSN, BSN Chess Online Festival, e-Sport Challenge dan Celik Kewangan.
“BSN juga terus memperkasakan lagi pendidikan kewangan dengan menitikberatkan pendigitalan melalui ‘Program Sekolah Tanpa Tunai BSN’ (BSN Cashless School program). Program ini dijalankan bagi memberi pendedahan dan kemudahan kepada murid untuk mengenali pembayaran tanpa tunai.
“Dalam masa terdekat ini juga, BSN akan memperkenalkan kepada murid-murid saluran pembayaran alternatif melalui alat khas iaitu ‘wearable’ (tertakluk kepada kelulusan). Ini sekali gus dapat memupuk sikap menghargai dan menerima teknologi. Program ini telah dimulakan pada Disember 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16 (1), Putrajaya,” tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!