Perubahan pegangan saham CRA lebihi 20 peratus perlu kelulusan SC

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sebarang perubahan melibatkan pegangan saham yang mengakibatkan seseorang mengawal entiti sebanyak 20 peratus atau lebih bagi modal berbayar agensi penarafan kredit (CRA) perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Perkara itu dinyatakan oleh SC dalam satu kenyataannya pada Jumaat yang mengulas mengenai kemungkinan berlakunya perubahan terhadap pegangan saham syarikat penarafan kredit negara, RAM Holdings Berhad (RAM).

Menurut SC, kelulusan awal daripada suruhanjaya itu juga diperlukan untuk sebarang peningkatan terkumpul berikutnya dalam pegangan saham sebanyak 10 peratus atau lebih daripada modal berbayar CRA.

“Kedua-dua keperluan ini telah ditetapkan di bawah Garis Panduan CRA. Dalam menilai permohonan sedemikian, SC mempertimbangkan antara lain cadangan nilai oleh pemohon, berbanding persekitaran persaingan yang semakin meningkat di mana CRA beroperasi.

“Ini termasuk pengembangan produk, pertumbuhan dan kemampanan perniagaan, kerjasama serantau, peningkatan set kemahiran dan sumbangan keseluruhan kepada pembangunan industri penarafan kredit tempatan dan pasaran bon Malaysia.

“Ini adalah selaras dengan matlamat Pelan Induk Pasaran Modal,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis, media melaporkan lebih daripada 93 pemegang RAM mengundi untuk menyokong CTOS Digital Bhd meningkatkan kepentingannya dalam RAM melebihi 20 peratus.

Mengulas lanjut, SC memaklumkan sehingga kini, pihaknya memberikan kelulusan kepada lebih daripada seorang pemohon untuk memegang lebih daripada 20 peratus pegangan saham dalam CRA.

SC memberitahu, selain daripada memperoleh pegangan saham dalam CRA sedia ada, permohonan juga boleh dibuat untuk penubuhan dan pendaftaran agensi penarafan ketiga, tertakluk kepada keperluan yang dinyatakan dalam Garis Panduan CRA.

“Pemegang saham CRA boleh menjadi syarikat, termasuk syarikat tersenarai awam, selaras dengan amalan serupa di bidang kuasa lain,” ujar kenyataan itu lagi.

Sementara itu, SC pada kenyataan sama menjelaskan bahawa pihaknya tanpa sebarang kompromi mengutamakan kebebasan kepada CRA bagi membolehkan ia memberikan penarafan kredit yang boleh dipercayai.

Jelas SC, pihaknya akan terus mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan kebebasan penarafan dan objektiviti, dan jika perlu, mengenakan syarat tambahan terhadap kelulusan yang diberikan kepada pemohon.

“Oleh itu, SC sedang mengkaji rangka kerja sedia ada, termasuk jawatankuasa penarafan dan komposisinya.

“Melangkah ke hadapan, SC berhasrat untuk menjadikannya satu keperluan bagi majoriti ahli lembaga pengarah (di kedua-dua syarikat induk dan syarikat penarafan) serta jawatankuasa penarafan terdiri daripada ahli bebas, manakala bagi sebarang keputusan dalam memberikan dividen kepada pemegang saham pua, ia memerlukan kelulusan daripada SC terlebih dahulu bagi memastikan CRA terus beroperasi dengan sumber yang mencukupi untuk mengekalkan operasi penarafannya,” kata suruhanjaya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!