'Hilangkan diri' empat tahun, lelaki didakwa rogol remaja ditahan semula

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Selepas empat tahun 'menghilangkan diri', lelaki didakwa kes rogol membabitkan gadis bawah umur sehingga mengandung di sini berjaya ditahan semula.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan semula lelaki berusia 28 tahun dilakukan setelah didapati gagal menghadiri pertuduhan kes merogol mangsa pada 2018.

Menurutnya, pada 5 Julai 2018 apabila suspek ketika itu berusia 23 tahun yang juga teman lelaki mangsa ditangkap bagi membantu siasatan.

"Bagaimanapun suspek dipercayai menghilangkan diri daripada menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan itu.

"Waran tangkap kemudiannya dipohon daripada mahkamah dan suspek dijadikan sebagai Orang Dikehendaki sebelum suspek berjaya diberkas kira-kira jam 1.30 pagi pada Rabu dan dituduh di Mahkamah Sesyen Klang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, mangsa yang merupakan pelajar sekolah Tingkatan Empat telah berkenalan dengan lelaki itu pada September 2017 melalui aplikasi Wechat.

"Mereka telah melakukan hubungan seks pada Oktober 2017 di sebuah hotel di kawasan Bandar Klang hingga mengandung.

"Mangsa melahirkan bayi lelaki cukup sifat di dalam tandas rumahnya di Kampung Delek namun bayi itu sudah tidak bernyawa. Mangsa bertindak memasukkan bayi dalam plastik sebelum membuang bayi itu ke dalam tong sampah besar di tepi jalan kampung tersebut," ujarnya.

Sebelum itu, katanya, pada awal pagi 12 Jun 2018, mangsa telah mengambil empat biji ubat keguguran yang diberikan oleh rakannya.

Kemudian pada 18 Jun 2018, katanya, mangsa mengadu sakit badan kepada ahli keluarganya lalu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan pemeriksaan mendapati dia menggugurkan kandungannya.

Justeru, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol mangsa berusia 16 tahun ke bawah dan Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!