Islam perlu sentiasa letakkan iman pada tahap tertinggi
MANJUNG - Umat Islam perlu sentiasa meletakkan iman pada tahap paling tertinggi dalam kehidupan seharian dan dalam apa juga keadaan.
Iman juga perlu disemai selain dibajai dalam diri individu, keluarga termasuk masyarakat supaya kehidupan yang berlandaskan kepada syariat ALLAH dapat disempurnakan.
Justeru, misi surah al-Kahf menjelang World #QuranHour Al-Kahf Mission yang bakal berlangsung pada 30 Mei bersamaan 25 Ramadan 1440H ini diharap dapat dihayati dan seterusnya menjadi amalan umat Islam terutama di negara ini.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIH) Fazrul Ismail berkata, surah al-Kahf secara keseluruhannya adalah surah perjuangan yang memerlukan penghayatan sewajarnya daripada umat Islam supaya dapat memahami erti perjuangan sebenar.
“Daripada surah al-Kahf ini kita dapat simpulkan ia adalah surah perjuangan. Dalam kata lain, ia adalah surah untuk memastikan iman diangkat setinggi-tingginya selain tidak membenarkan sama sekali status iman direndah-rendahkan.
“Ini kerana, apabila iman direndah-rendahkan maka ia akan memberikan kesan khususnya kepada banyak kezaliman yang berlaku hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Manjung #QuranHour sempena Festival Islam Antarabangsa di Dewan EMV, Seri Manjung di sini, hari ini.
Hadir sama, isteri Orang Besar Jajahan (OBJ) Manjung, Datin Nor Shuhada Osman; Pengurus Festival Islam Antarabangsa Negeri Perak, Norman Ahmad Radzuan dan Penasihat Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina @ Lily Noor Shah.
Turut hadir, Pengurus Perhubungan Strategik dan Perhubungan Awam WUIH, Nurhayati Nordin; Pengasas/Penasihat Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Nazli Alias dan Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah, bacaan surah al-Baqarah, sinopsis surah al-Kahf, bacaan surah sama dari ayat 1 hingga 10, tadabbur dan ikrar al-Quran sebelum diakhiri dengan bacaan doa.
Fazrul berkata, misi surah al-Kahf turut mengajak umat Islam sentiasa mengutamakan ALLAH dalam segala urusan sekali gus berjaya mengangkat iman dan meletakkannya pada tahap paling tinggi dalam hidup.
“Misi menghidupkan surah al-Kahf ini akan menyaksikan kita meletakkan iman pada tahap paling tinggi dalam hidup kita, keluarga kita, dalam masyarakat. Ini menjadikan seseorang itu sentiasa memberikan keutamaan kepada ALLAH dalam apa juga urusan selain mengutamakan solat.
“Selain itu, dia juga akan sentiasa mengutamakan apa yang difirmankan atau hukum yang ditetapkan ALLAH SWT berbanding pendapat manusia,” katanya.
Dalam pada itu Fazrul berkata, umat Islam hari ini diharap tidak lagi menyamakan kepentingan urusan harian dengan kepentingan terhadap ALLAH SWT selain perlu bijak merancang supaya segala aktiviti dirancang atau dianjurkan tidak bersifat sedemikian.
“ALLAH SWT berfirman dalam ayat keempat, al-Quran ini memberikan amaran kepada orang yang menyamakan tuhan dengan makhluk; dan ia jelas salah satu daripada cabaran perlu dihadapi umat Islam hari ini yang dilihat sering menyamakan kepentingan tuhan dalam urusan kehidupan seharian.
“Sebagai contoh; apabila mesyuarat, kalau dah sampai waktu 1.30 (Zohor), kena berhenti. Kena letakkan ALLAH SWT paling tinggi. Kalau nak makan (tengah hari) kena rancang, supaya kita boleh solat pada awal waktu.
“Selain itu kalau ada perbezaan pendapat apa sekali pun, kalau bertelagah, berselisih pendapat atau sebagainya, kita kena pastikan kita letakkan apa firman ALLAH dahulu berbanding perkataan kita sebagai manusia biasa dan semoga kita mendapat rahmat ALLAH SWT dan masuk syurga satu keluarga,” katanya.
Sementara itu seorang peserta, Mardziah Ramli, 62, berharap program berkenaan dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan.
"Saya rasa serononok sangat dapat hadir pada program kali ini yang dibuat sempena Festival Islam Antarabangsa Manjung. Pada penganjuran akan datang, diharapkan supaya surah-surah lain pula menjadi fokus utama pada program.
“Saya juga berharap program ini dapat diteruskan sampai bila-bila. Kalau sekaran dengan surah al-Kahf, akan datang boleh kita kaji dan menghayati surah-surah yang lain pula,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!