Kem Sukan UiTM Kedah bentuk karakter peserta
SERAMAI 100 peserta berusia sekitar lima hingga 14 tahun menguji fizikal dan mental masing-masing dalam Kem Sukan UiTM Kedah di Kompleks Sukan UiTM Cawangan Kedah.
Penganjuran program Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) menerusi Unit Sukan dan Jawatankuasa Sukan Pelajar (JSP) edisi ketiga selama tiga hari itu lebih meriah apabila mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda, Yan dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Pelbagai pengisian acara badminton, memanah, bola sepak dan taekwondo dikendalikan jurulatih berpengalaman dalam pembangunan sukan kokurikulum sepanjang tiga hari program yang bermula dari 7 hingga 9 Jun lalu.
Rektor UiTM Cawangan Kedah, Prof Dr Mohamad Abdullah Hemdi mengharapkan peserta dapat memanfaatkan pengalaman yang diperoleh sepanjang mengikuti kem berkenaan.
“Saya percaya program sebegini dapat memberi pengalaman baharu kepada murid-murid sekolah rendah pada musim cuti persekolahan, selain pendedahan kepada penuntut UiTM dalam memberi didikan dan nasihat atau sebagai 'role model' kepada peserta.
“Ini juga merupakan antara program 'visibility' UiTM Kedah melalui program HEP kepada masyarakat negeri Kedah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Sukan UiTM Kedah, Mohd Yazli Yahaya gembira apabila peserta dapat mengikuti program dalam suasana kondusif selain berkenalan dengan rakan-rakan dari sekolah berlainan.
“Perkara paling penting sepanjang program berlangsung adalah peserta mendapat ilmu pengetahuan dan pengalaman yang secara tidak langsung membantu membina karakter masing-masing.
“Ini secara tidak langsung menjadikan kem sukan menjadi program yang dinantikan dalam kalangan murid setiap kali musim cuti persekolahan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Wan Nor Azman Zainol berkata, program berkenaan memberikan impak positif dalam pengiktirafan pemarkahan kokurikulum sekolah di peringkat negeri selaras Dasar Sukan Pendidikan sekolah iaitu 1Murid 1Sukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!