Taktik baharu letak dadah dalam kereta

Ahmad Jefferi (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas pihak polis.
Ahmad Jefferi (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas pihak polis.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyalahgunaan dadah bukan satu isu baharu di negara ini sekali gus menjadi barah yang merosakkan anak bangsa.

Bermula daripada penyeludupan, penjualan sehinggalah kepada pengguna terakhir iaitu penagih, saban hari ada sahaja tangkapan dilakukan pihak berkuasa.

Selangor sebagai sebuah negeri yang pesat membangun turut tidak terkecuali dalam menghadapi masalah berkaitan penyalahgunaan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah mendedahkan antara taktik dikesan digunakan pengedar dadah adalah meninggalkan bahan larangan itu di dalam kereta yang diletakkan di kawasan tertutup atau terbuka.

Jelasnya, tindakan ini antara taktik terbaru dikesan yang mana dadah ditemui selalunya dalam jumlah atau kuantiti yang banyak.

Ahmad Jefferi
Ahmad Jefferi

“Trend pengedaran dadah ini sentiasa berubah dari masa ke masa. Antara taktik terbaru dikesan adalah pengedar akan meletakkan dadah dalam kereta yang ditinggalkan di sesebuah lokasi sebelum ia diambil oleh pengedar yang lain.

“Kereta ini adakalanya diletakkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti di parkir awam, jadi secara tidak langsung kaedah ini dilihat kurang mencurigakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, ada juga kes dadah akan dipindahkan oleh pengedar dari satu lokasi ke lokasi yang lain menggunakan kereta.

“Dadah yang diletakkan dalam kereta akan diambil oleh pengedar dan kemudiannya dibawa sebelum diletakkan dalam kereta lain.

“Kaedah ini menggunakan kenderaan dan lokasi yang berbeza bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.

Menurutnya, kaedah pengedaran sebegini melibatkan banyak lapisan sebelum sampai kepada penagih.

“Aktiviti pengedaran dadah melalui kaedah ini mempunyai lapisan yang tersendiri di mana pengedar tidak pernah bertemu atau kenal antara satu sama lain.

“Mereka hanya berhubung menerusi panggilan telefon atau kiriman WhatsApp untuk memaklumkan mengenai lokasi kenderaan yang mana dadah disimpan,” jelasnya.

Tindakan dari masa ke masa sememangnya dijalankan pihak polis dalam usaha memerangi dadah. - Gambar hiasan
Tindakan dari masa ke masa sememangnya dijalankan pihak polis dalam usaha memerangi dadah. - Gambar hiasan

Jual beli dadah online

Ahmad Jefferi berkata, cara pembelian dalam talian (online) dan menggunakan khidmat penghantaran barang antara kaedah digunakan untuk membeli dadah pada masa kini.

Jelas beliau, taktik ini melibatkan dadah dalam jumlah yang kecil dan ia terus kepada penagih.

“Kaedah pembelian dalam talian serta menggunakan khidmat penghantaran barang antara yang digunakan untuk menjalankan urusan jual beli dadah dan ia terus kepada penagih.

“Namun, kes yang melibatkan kaedah sebegini adalah terpencil dan tidak melibatkan jumlah kuantiti yang banyak,” katanya.

Menurutnya, kes sebegini kebiasaannya melibatkan golongan penagih yang profesional.

“Penagih ini mempunyai pelbagai kategori termasuk amatur dan profesional. Penagih amatur akan mendapatkan dadah daripada tokan secara bersemuka, namun bagi yang profesional, mereka akan membeli menerusi dalam talian.

“Dadah yang dibeli akan dihantar menerusi khidmat penghantaran barang dan melibatkan jumlah yang kecil dan sedikit,” tambahnya.

Ujar Ahmad Jefferi, aktiviti penyalahgunaan dadah sama ada melibatkan pengedaran atau penagihan telah berubah seiring dengan perkembangan semasa.

Taktik pengedaran dan penagihan dadah berubah seiring peredaran zaman. - Gambar hiasan
Taktik pengedaran dan penagihan dadah berubah seiring peredaran zaman. - Gambar hiasan

Berbicara mengenai penagihan dadah, Ahmad Jefferi berkata, suatu ketika dahulu, penagihan dadah kebanyakannya melibatkan port-port kekal seperti di rumah usang, bawah jambatan, kaki lima sunyi dan pelbagai lagi lokasi yang dianggap strategik oleh penagih.

“Keadaan sebegini ketara ketika awal tahun 1980-an dan 90-an yang mana lokasi penagihan lebih kepada port kekal, namun berbeza dengan masa kini yang mana lebih kepada mobile port atau port berpindah-randah.

“Dan ketika itu juga, pengedar akan terus menjual dadah kepada penagih di port tersebut. Penagih akan membeli daripada pengedar di satu-satu lokasi kemudiannya penagih akan mengambil dadah sama ada di rumah atau tempat-tempat lain.

“Maknanya penagih tidak menfokuskan hanya satu-satu lokasi untuk mengambil dadah,” dedahnya.

Usaha berterusan dalam memerangi dadah sentiasa dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor.

Ahmad Jefferi berkata, operasi yang dijalankan meliputi pelbagai sasaran melibatkan pengedar dan juga penagih.

“Operasi sentiasa dijalankan dalam usaha memerangi dadah ini dan dijalankan setiap hari.

“Kita memfokuskan bukan sekadar pengedar besar-besaran malah melibatkan pengedar dan juga penagih. Dalam soal ini setiap elemen dadah itu memang kita perangi sehabis mungkin,” tegasnya.

Katanya, usaha membanteras dadah tidak dapat dijayakan sepenuhnya tanpa kerjasama daripada orang ramai.

“Polis sememangnya menjalankan operasi setiap masa, namun pada masa sama kerjasama daripada orang ramai amat diperlukan untuk menyalurkan maklumat.

“Kalau harapkan pihak berkuasa semata-mata terutamanya polis, pastinya sukar untuk menangani sepenuhnya masalah dadah ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!