Jual rumput napier raih pendapatan lima angka
Rumput napier mendapat permintaan tinggi penternak haiwan ternakan seperti lembu dan kambing sebagai makanan alternatif sejak harga dedak haiwan ternakan meningkat dengan mendadak.
JITRA - Seorang pengusaha tanaman rumput napier jenis Pakchong di Kampung Lahar, Mukim Malau, dekat sini tidak menyangka percubaan kali pertama mengusahakan tanaman tersebut pada Mac lalu memberikan pulangan lumayan apabila memperoleh pendapatan mencecah sehingga lima angka sebulan.
Mohd Ismail Abd Ghani, 27, berkata, setiap hari sebanyak lima tan rumput napier diambil untuk memenuhi permintaan daripada penternak dari Perlis dan beberapa lokasi di Kedah seperti Kubang Pasu, Padang Terap, Sungai Petani dan Pendang.
Menurutnya, sejak hasil rumput napier itu mula diambil 19 Mei lalu, panggilan daripada penternak sering diterimanya dari masa ke masa kerana mahu membuat tempahan.
"Tanaman rumput napier ini sangat berpotensi dan wajar diusahakan anak muda yang mahu menceburkan diri dalam bidang pertanian. Makanan ini menjadi pilihan penternak seperti ternakan lembu dan kambing sejak harga dedak meningkat dengan mendadak.
"Dalam tempoh tiga bulan, saya sudah boleh menjual rumput ini yang bukan sahaja mendapat permintaan daripada penternak di Perlis dan sekitar Kedah tetapi juga daripada agensi kerajaan serta swasta.
"Pertambahan permintaan menyebabkan saya perlu menggunakan lima pekerja untuk membantu memotong rumput di ladang seluas dua hektar yang telah diusahakan sejak Mac lalu," katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Lahar, Mukim Malau pada Khamis.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia menggunakan modal sendiri sebanyak RM30,000 untuk membina pagar, membeli benih, peralatan memotong dan beberapa keperluan lagi sebagai permulaan.
Jelasnya, tanaman yang diusahakan itu juga turut menerima ancaman daripada kera dan babi sehingga memaksa pagar elektrik dipasang mengelilingi ladang rumput napiernya agar tanaman tersebut tidak dirosakkan haiwan liar terbabit.
"Semasa mula tanam rumput ini, tanaman saya pernah dirosakkan haiwan liar seperti kera dan babi. Binatang ini suka makan bahagian batang rumput semasa rumput ini sedang membesar kerana ia lembut. Disebabkan itu saya perlu memasang pagar elektrik dan akan memantau dari masa ke masa," ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd Ismail berkata, penjagaan tanaman rumput napier ini juga mudah dan dia hanya perlu membersihkan persekitaran tanaman tersebut agar rumput liar yang lain tidak mengganggu tumbesarannya.
"Saya bercadang untuk meluaskan lagi tanaman rumput ini bagi menampung permintaan yang tinggi setiap hari. Saya sedang meninjau dan mempertimbangkan beberapa kawasan lain lagi untuk menanam rumput ini termasuk rumput minyak yang turut menerima permintaan tinggi," katanya.
Tambahnya, rumput napier yang tidak dipotong dijual pada harga 25 sen bagi satu kilogram (kg) sebelum pelanggan datang mengambil sendiri di ladang.
"Bagi rumput napier yang siap dipotong pula atau dikenali freshcut dijual pada harga 32 sen satu kilogram. Satu lagi jenis dikenali silaj iaitu rumput yang diperam dengan gula dan garam.
"Rumput silaj dijual pada harga 40 sen satu kilogram kerana ada kos tambahan lain untuk membuatnya. Rumput jenis ini banyak dibeli penternak untuk diberikan kepada ternakan mereka yang sedang dikuarantin," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!