Kapal kargo ditahan bersauh tanpa kebenaran
KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal kargo kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur pada Jumaat.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal kargo itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 21.8 batu nautika timur Tanjung Balau semasa melaksanakan operasi rutin pada jam 11.15 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut berdaftar dari Mongolia dan dikendalikan tujuh kru lelaki termasuk nakhoda.
"Kesemua mereka merupakan warga Myanmar berusia di antara 24 hingga 56 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati nakhoda telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, kapal terbabit ditahan, manakala nakhoda kapal serta seorang kru telah diturunkan dan dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
"Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kapal-kapal dalam perairan negara sentiasa terjamin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!