Gesa Perhimpunan Agung PBB ambil perhatian isu hina Nabi Muhammad

Bilawal Bhutto Zardari - Foto Reuters
Bilawal Bhutto Zardari - Foto Reuters
A
A
A

ISLAMABAD - Pakistan pada Jumaat menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil perhatian terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua pegawai Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India, baru-baru ini.

Menteri Luar Bilawal Bhutto Zardari menghubungi Presiden Perhimpunan Agung PBB Abdulla Shahid melalui telefon dan memaklumkan mengenai kenyataan yang menghina Nabi Muhammad SAW yang dibuat pegawai BJP itu, lapor Agensi Anadolu.

"Provokasi yang disengajakan itu telah menjejaskan sentimen berbilion-bilion umat Islam di seluruh dunia, Menteri Luar menggesa (presiden Perhimpunan Agung PBB) untuk mengambil perhatian terhadap perbuatan terkutuk itu di tengah-tengah peningkatan ucapan kebencian dan Islamofobia di India,” menurut Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan.

Beliau berharap forum PBB akan digunakan untuk "perdebatan yang konstruktif dalam kalangan negara anggota, dengan tujuan untuk menangani isu itu yang telah menyebabkan perasaan tersinggung dan kebencian dalam kalangan umat Islam."

Minggu lalu, jurucakap kerajaan BJP India Nupur Sharma dan Ketua Media parti itu di Delhi Naveen Kumar Jindal membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW, mencetuskan gelombang kecaman di seluruh negara dan dunia Islam.

Pada Ahad, BJP telah bertindak menggantung keahlian Sharma dan memecat Jindal daripada parti. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!