Pahang pastikan habitat flora, fauna terus dilindungi
KUANTAN - Pasukan khas, Renjer Hutan Pahang atau Unit Peronda Hidupan Liar Pahang ditubuhkan di negeri ini bagi melindungi hidupan liar selain berperanan memantau dan membuat penguatkuasaan terhadap kesalahan di bawah Akta Hidupan Liar.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Pahang juga menubuhkan Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) di Kuala Gandah, Lanchang.
Menurutnya, penubuhan NTCC adalah bagi memastikan habitat semua spesies harimau di negara ini terus dilindungi daripada sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang khususnya aktiviti pemburuan dan penerokaan hutan.
"Bagi melindungi sumber biodiversiti dan memulihara alam sekitar di negeri ini, kerajaan negeri mengorak langkah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang.
"Perbadanan Taman Negeri Pahang berfungsi sebagai penasihat kepada pihak berkuasa negeri mengenai perkara yang berkaitan dasar umum tentang pemeliharaan, penggunaan, kawalan dan pengurusan serta pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negeri Pahang.
"Sementara Majlis Biodiversiti Negeri Pahang berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan negeri dalam melindungi alam semula jadi dan sumber biodiversiti, mengkaji dasar berkaitan dengan bioteknologi serta melindungi harta intelek negeri ini yang melibatkan aspek flora dan faunanya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Wan Rosdy berkata, semua inisiatif yang dilakukan itu adalah bagi menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah agar setiap projek pembangunan di negeri ini dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti mana seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Kerajaan negeri Pahang akan berusaha memastikan habitat flora dan fauna termasuk spesies Harimau Malaya di negeri ini akan terus dilindungi," katanya.
Sementara itu, beliau turut merafak sembah menzahirkan ucapan tahniah atas ikrar dan tekad Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah untuk memastikan spesies Harimau Malaya terus hidup dan membiak serta tidak pupus di negeri ini.
Beliau dan seluruh rakyat berbangga atas keprihatinan, kesungguhan dan iltizam Pemangku Raja Pahang untuk menyelamatkan spesies Harimau Malaya yang menjadi simbol kebanggaan rakyat Malaysia.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam kenyataannya sebelum ini berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab dan melakukan usaha terbaik bagi melindungi spesies Harimau Malaya daripada ancaman kepupusan.
Baginda bertitah, Harimau Malaya yang menjadi kebanggaan negara dan simbol keberanian dan kekuatan rakyat Malaysia telah lama hidup bebas di negara ini kini diancaman kepupusan yang kritikal.
Baginda meminta semua pihak membulatkan tekad dan mengambil langkah tegas untuk menyelamatkan haiwan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!