Kedai pusaka 44 tahun musnah terbakar

Nik Muhamad Arif ketika ditemui di lokasi kebakaran di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Nik Muhamad Arif ketika ditemui di lokasi kebakaran di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengusaha kedai emas di Pasar Datuk Keramat menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit selepas kedai yang diusahakannya secara turun temurun musnah dalam kebakaran di sini pada Sabtu.

Pengusaha kedai emas, Nik Muhamad Arif Nik Azmi, 34, ketika ditemui meluahkan kesedihannya selepas kedai yang dibuka datuknya sejak tahun 1978 musnah dalam insiden kebakaran tersebut.

Menurut bapa kepada dua anak itu, dia bernasib baik kerana sempat menyelamatkan barang kemas jualannya bernilai jutaan ringgit daripada dijilat api.

"Semasa kebakaran saya berada di rumah dan dimaklumkan oleh penduduk sekitar yang mengatakan kedai kami sedang terbakar. Mujur penduduk berdekatan mengenali saya di sini dan terus menghubungi saya.

"Sejurus tiba, saya lihat asap hitam dan api sudah marak, saya bersama beberapa ahli keluarga bergegas masuk dan membawa keluar barang kemas yang disimpan di dalam kedai," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Sabtu.

Nik Muhamad Arif yang memiliki tiga lot kedai di kawasan berkenaan memberitahu dua daripadanya musnah, manakala satu lagi mengalami kerosakan.

Forensik bomba menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Forensik bomba menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Mengulas lanjut, dia difahamkan kebakaran berlaku dari sebuah kedai pakaian terpakai atau 'bundle' sebelum merebak ke kedai lain.

"Ada saksi beritahu kebakaran bermula di kedai bundle sebelah kedai saya ini. Kedai bundle ini jenis jual baju secara longgok, saya rasa sebab itu api marak dengan begitu cepat.

"Nasib baik bomba bertindak pantas, hanya bahagian depan pasar yang musnah terbakar manakala kedai di bahagian belakang mengalami kerosakan," ujarnya.

Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan Pasar Datuk Keramat terbakar lagi selepas insiden sama berlaku pada Mac tahun lalu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan berkata, pasukan penyelamat tiba pada jam 1.40 pagi dan api berjaya dipadamkan sekitar 2.11 pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!