Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura capai kemajuan 17 peratus
JOHOR BAHRU - Tahap kemajuan kerja-kerja pembinaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura kini mencapai 17 peratus, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Ka Siong berkata, pihaknya berpuas hati dengan status terkini projek berkenaan walaupun mengharungi sedikit cabaran, namun percaya akan dapati diatasi.
"Dari segi teknikal, tidak mengalami sebarang isu cuma untuk mengalihkan laluan paip milik Lembaga Kemudahan Awam (PUB) Singapura.
"Pengalihan paip 900 milimeter dan 1,600 milimeter juga selesai hasil persetujuan dasar membabitkan republik itu dan akan dibentangkan di peringkat kabinet dalam masa terdekat.
"Kementerian akan meminta Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) memantau prestasi pihak kontraktor untuk percepatkan pembinaan projek tersebut mengikut jadual," katanya ketika melakukan lawatan mengejut ke tapak projek RTS Link di Bukit Chagar di sini pada Sabtu.
Menurut Ka Siong, penjadualan pembinaan projek nasional itu berjalan secara ideal bagi memastikan infrastruktur RTS Link Johor Bahru-Singapura disiapkan menjelang Disember 2024.
Tambahnya, kementerian akan memastikan projek bilateral antara dua negara itu cuba dipercepatkan agar pengoperasian yang ditetapkan pada Januari 2027 dapat dilaksanakan.
"Pihak kontraktor kini giat membuat penanaman cerucuk sejak beberapa bulan lalu dan selepas ini, lebih ramai pekerja pembinaan akan dibawa masuk ke lokasi pembinaan projek tersebut," katanya.
Ka Siong berkata, enam pakej pembangunan projek tersebut melibatkan kawasan depot, stesen dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) yang berjalan secara serentak dan memerlukan pekerja ramai.
"Justeru, MRT Corp sedia berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan bekalan pekerja mencukupi.
"Ini antara cabaran yang perlu kita perhalusi untuk pastikan tidak ada kelewatan kerana ini melibatkan dua buah negara dan perjanjian bilateral telah kita tandatangani, apapun projek ini perlu disempurnakan menjelang hujung 2026," katanya.
Projek RTS itu dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan aktiviti ekonomi yang berpotensi berkembang lebih meluas seperti Koridor Barat Hong Kong-Shenzhen.
RTS bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi menggalakkan lebih banyak perniagaan serta aktiviti rentas sempadan antara Singapura dan Johor Bahru.
Rangkaian itu akan mempunyai kapasiti 10,000 penumpang dalam masa sejam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!