Infrastruktur Pasar Keramat uzur, perlu perhatian

Johari (kanan) melawat peniaga yang terjejas akibat kebakaran di Pasar Keramat, Kampung Datuk Keramat.
Johari (kanan) melawat peniaga yang terjejas akibat kebakaran di Pasar Keramat, Kampung Datuk Keramat.
A
A
A

Kuala Lumpur - [DIKEMAS KINI] Sistem pendawaian dan infrastruktur yang usang di Pasar Keramat, Kampung Datuk Keramat antara punca berlaku kebakaran di pasar itu awal pagi Sabtu

Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keadaan itu sudah tidak selamat untuk beroperasi dan kejadian merupakan kali kedua dilaporkan dalam tempoh kurang dua tahun

“Kejadian pertama pada Mac tahun lalu. Infrastruktur dan pendawaian sudah tidak selamat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pasar tersebut pada Sabtu.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan II berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merupakan pemilik tanah kawasan pasar berkenaan dipercayai telah membuat perjanjian dengan sebuah pemaju untuk urusan jual beli.

“Bagaimanapun saya difahamkan pihak pemaju belum melunaskan pembayaran. Peniaga dijanjikan pembangunan semula menerusi urusan terbabit namun sudah lima tahun belum ada sebarang perkembangan.

“Apabila berlaku kejadian sebegini (kebakaran), siapa yang akan bertanggungjawab kerana mereka (peniaga) perlu terus beroperasi,” katanya.

Katanya, pihak berkaitan perlu mencari jalan penyelesaian membantu peniaga terutama apabila berlaku insiden seperti kebakaran.

“Jangan biar masalah ini terus menghantui peniaga kerana akan menjejaskan periuk nasi mereka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!