Tiga pembantu rumah dakwa dipukul
KAJANG - Seramai tiga pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dipukul oleh majikannya berstatus Tan Sri di sebuah banglo di Country Heights, Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan dan aduan mangsa itu pada jam 8.11 malam, 22 Mac lalu.
"Ketiga-tiga wanita berkenaan berusia di antara 25 hingga 41 tahun. Masing-masing bekerja di rumah suspek kira-kira enam bulan, empat tahun dan tujuh tahun," katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal, ketiga mangsa telah melarikan diri daripada rumah suspek setelah tidak tahan diperlakukan dengan kasar oleh suami isteri yang merupakan majikan mereka.
"Mangsa memdakwa pernah dipukul dengan cara ditampar dan ditumbuk.
"Selain itu, gaji mereka tidak dibayar selama bekerja di situ dan tidak dibenarkan pulang ke Indonesia dimana paspot peribadi disimpan oleh majikan," katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa telah bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar rumah majikan yang kemudiannya telah dibantu oleh seorang lelaki tidak dikenali.
"Lelaki berkenaan telah membawa ketiga mangsa ke Kedutaan Indonesia bagi mendapatkan bantuan," katanya.
Menurutnya, pihak kedutaan Indonesia telah membuat satu laporan di Balai Polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur.
"Siasatan ditempat kejadian telah rampas dua passport dan i-card mangsa yang berada dalam milikan setiausaha saspek. "Kini ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke rumah perlindungan," katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa juga pergi ke Klinik Kesihatan Kajang untuk pemeriksaan doktor.
"Hasil pemeriksaan pegawai perubatan dapati ketiga-tiga mangsa tiada kecederaan fizikal, mental dan seksual," katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 13 ATIPSOM 2007.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!