27 pasukan sahut cabaran kejuaraan hoki B16

Anil Jeet
Anil Jeet
A
A
A

SEBANYAK 27 pasukan mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Hoki Kebangsaan Bawah 16 tahun (B16) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula Rabu hingga 25 Jun ini.

13 pasukan negeri bakal bersaing dalam kategori lelaki kecuali Kedah manakala bagi saingan wanita menyaksikan kesemua 14 negeri berentap untuk memburu gelaran juara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, pihaknya membelanjakan kira-kira RM600,000 untuk penganjuran kejohanan itu.

“KHM tanggung liga kebangsaan ini kerana kita nak bangunkan pemain untuk sukan hoki Malaysia dan bantu negeri-negeri bangunkan pasukan Bawah 16 untuk Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.

“Bagi pasukan Sabah dan Sarawak, KHM menampung sekitar 80 peratus tiket penerbangan mereka, selain makan minum semua kita bayar. Buat masa ini, berkenaan hadiah wang tunai masih dalam perbincangan,” katanya pada sidang media pada Sabtu.

Beliau berkata, semua pasukan akan mendaftar masuk pada Selasa dan ditempatkan di asrama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Anil Jeet berkata, Stadium Hoki Nasional dipilih sebagai venue kejohanan susulan ia adalah kemudahan bertaraf dunia sedia ada, selain memberi peluang kepada pemain muda merasai pengalaman beraksi di stadium tersebut sebagai motivasi.

“Skuad kebangsaan pun bermain di sini, jadi kita mahu mereka (skuad B16) ambil ‘feel’ yang sama.

“Kita juga mahu melihat bakat dari negeri lain seperti Sabah, Sarawak, Perlis dan Kelantan yang tidak banyak peluang tapi mereka ada pemain bakat yang hebat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KHM masih dalam perbincangan dalam menentukan tarikh penganjuran Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) dan Piala Tun Abdul Razak yang akan diumumkan kelak. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!