Agong berkenan lawat Kampung Orang Asli di Cameron Highlands
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan sumbangan kepada penduduk Kampung Orang Asli Pos Menson dan Kampung Orang Asli Sungai Relong di Cameron Highlands, Pahang pada Sabtu.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah disambut Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khairulanwar Syed Abdul Rahman dan Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.
Menurut catatan Istana Negara di Facebook pada Sabtu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sumbangan tunai dan barangan keperluan dapur kepada 63 ketua isi rumah di Kampung Orang Asli Pos Menson dan 153 ketua isi rumah di Kampung Orang Asli Sungai Relong pada majlis yang berlangsung selama hampir dua jam bermula 11 pagi.
Sempena lawatan tersebut, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyantuni penerima sumbangan dengan bertanya khabar serta menasihati penduduk agar sentiasa menjaga kesihatan diri, keluarga dan warga emas.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah sekiranya penduduk mempunyai sebarang permasalahan hendaklah sentiasa merujuk kepada tok batin agar tindakan selanjutnya dapat diambil dan disegerakan.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!