JET 2022: Pemain pilihan Selangor gagal pertahan kejuaraan
PEMAIN Selangor lelaki bawah 16 tahun (B-16), Au Wei Shan gagal mempertahankan kejuaraannya pada kejohanan badminton Jelajah Remaja Elit (JET) 2022 selepas terkandas di peringkat separuh akhir di pusingan kedua di Meru, Perak pada Sabtu.
Selaku pemain pilihan utama, Wei Shan tewas kepada pemain Kuala Lumpur, Yap Chun Sin, apabila gagal mempamer aksi yang konsisten dan banyak melakukan kesilapan mudah berdepan lawannya yang tenang mengawal perlawanan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan 100PLUS, Chun Sin telah mengesahkan kemenangan straight set 21-14, 21-19 dalam masa 40 minit untuk mara ke final.
"Permulaan permainan saya bermain dengan pantas dan kelihatan dia (Au) tiada keyakinan dan banyak melakukan kesilapan. Di set kedua saya kekal tenang dan cuba untuk tidak mematikan bola terlalu awal dan tunggu peluang,” kata Chun Sin menerusi kenyataan daripada penganjur.
Chun Sin seterusnya akan berdepan dengan pemain Selangor, Shawn Hiu yang menang ke atas Jayden Ng Yi Shen (Kuala Lumpur) juga dengan kemenangan straight set 21-18, 21-15.
Sementara itu, dalam aksi separuh akhir perseorangan wanita bawah 16 tahun, pilihan pertama Selangor, Eng Ler Qi selangkah untuk melakar kejuaraan kedua dalam siri JET 2022.
Ler Qi menang ke atas rakan sepasukan, Shan Lee Yu 21-10, 21-13 dalam masa 28 minit dan dijangka menentang pemain kelahiran Melaka, Shaneesa Shahidi yang menang ke atas pemain Kelantan, Yeap Phoi Lin 21-8, 21-18 pada peringkat seterusnya. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!