Rafizi umum gerak kerja PRU15 minggu depan
SHAH ALAM - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bakal mengumumkan gerak kerja bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada minggu depan.
Rafizi berkata, gerak kerja tetap akan dijalankan meskipun keputusan Pemilihan PKR 2022 telah ditangguhkan.
“Walaupun keputusan pemilihan Keadilan ditangguhkan hingga sebulan lagi, saya akan mula mengumumkan gerak kerja PRU15 minggu depan.
“Oleh kerana hal dalam Keadilan masih belum selesai, kita akan berkempen mendekati rakyat melalui @ayuh_malaysia. Mohon seberapa ramai ikuti,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Sabtu.
Sebelum ini, kempen bertemakan ‘Ayuh Malaysia’ telah dilancarkan oleh Rafizi bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bagi menarik sokongan pengundi atas pagar sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Platform ‘Ayuh Malaysia’ digerakkan oleh pimpinan muda PKR dengan harapan dapat menarik minat penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Rafizi berkata, keputusan melancarkan kempen itu diambil selepas mengambil kira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan pandangan pelbagai pihak dalam PKR.
Katanya, majlis pelancaran Ayuh Malaysia juga akan memperkenalkan aplikasi CISTA yang dibangunkan bagi membolehkan setiap rakyat Malaysia menjadi sukarelawan untuk berkhidmat membawa mesej perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!