Tindakan tak lepaskan jawatan Pengerusi EAIC dikecam
SHAH ALAM - Tindakan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang masih tidak melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) walaupun terpalit dengan isu menerima gaji RM30,000 sebulan daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dikecam.
Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, sepatutnya bila perkara itu timbul, tindakan segera perlu dilakukan individu terbabit bagi menunjukkan sikap tanggungjawab sebagai pemimpin.
“Setiap manusia yang berpendidikan dan berkedudukan tinggi serta mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat perlu menilai sendiri sama ada masih layak atau tidak mengetuai sesuatu badan.
“Perkara ini perlu datang dari diri individu itu sendiri dahulu dan kemudiannya dari kerajaan. Kerajaan bertanggungjawab terhadap tindakan penjawat awam,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau memberi analogi kes yang dikaitkan dengan Mohd Sidek seperti situasi ‘Apabila Tasik Kering’.
Menurutnya, semasa tasik penuh sampai melimpah tebing, ia nampak cantik di mana air boleh diambil untuk pelbagai kegunaan dan kegiatan asalkan tidak melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan.
Katanya, petani menggunakannya untuk pengairan, nelayan untuk menangkap dan menternak ikan, pelancong untuk berkelah dan haiwan untuk mencari makan.
“Malah orang jahat pun boleh menggunakannya untuk mencampakkan tong tar berisi mayat mangsa mereka macam dibuat oleh samseng mafia di Amerika Syarikat.
“Ini yang terjadi kepada tasik imaginari bernama Malaysia (bukan Tasik Malaya di Jawa) pada zaman pemerintahan Najib. Airnya diisi penuh sampai melimpah kerana ada hajat dan muslihat.
“Tetapi sebaik saja airnya surut atau kering dan Najib tidak berkuasa lagi maka timbullah segala macam kekotoran termasuklah yang cuba disembunyikan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!