Penganjur konsert amal Christchurch tuduh Facebook hipokrit
WELLINGTON - NEW ZEALAND. Facebook dituduh bersikap hipokrit apabila menyahaktifkan mesej pihak penganjur konsert amal Christchurch yang dikirim kepada ratusan orang bertujuan mempromosi dan mengutip derma bagi mangsa serangan pengganas dua minggu lalu.
Wakil penganjur, Nigel Godfrey berkata tindakan gergasi media sosial itu sangat ironi dengan insiden serangan pengganas kulit putih menyasarkan dua buah masjid di Christchurch yang distrim secara langsung selama 17 minit dan kelewatan video ganas tersebut dipadam.
Godfrey yang bertindak sebagai penerbit konsert "This is Who We Are" yang bakal diadakan di Auckland berkata, mesej berkenaan dinyahaktifkan secara automatik kelmarin.
"Ia agak ironi bahawa syarikat yang menyaring pembunuhan beramai-ramai dan dahsyat, kini menghalang pihak penganjur daripada membantu mangsa serangan.
"Tindakan mereka menimbulkan persoalan. Jika Facebook mampu menyekat secara automatik, mengapa insiden 15 Mac lalu terlepas pandang.
"Rupa-rupanya mesej kami bertentangan dengan standard komuniti mereka, kerana mereka menganggap ia spam, tetapi pembunuhan beramai-ramai tidak?," kata Godfrey.
Kelmarin pihak Facebook Inc. telah melarang semua bentuk pujian mahupun sokongan terhadap kumpulan ynag mengamalkan perilaku nasionalisme kulit putih.
Arahan itu akan dikuatkuasakan di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram.
Larangan menyokong golongan tersebut telah diumumkan kurang dua minggu selepas insiden tembakan ngeri di Christchurch. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!