‘Sure’ terbit melalui swaterbit

No Image Caption
A
A
A

KEPUASAN sebenar seorang penulis bukan sekadar terletak pada penghasilan karya untuk bacaan sendiri semata-mata. Ia lebih daripada itu.

Penulis berharap karya yang terhasil dapat dinikmati dan dimanfaatkan oleh khalayak pembaca. Justeru, pelbagai kaedah digunakan agar karya dapat dijadikan bahan tatapan umum. Antara yang lazimnya adalah melalui sumbangan ke media cetak seperti akhbar dan majalah.

Berikutan kekurangan ruang dan peluang penerbitan karya dalam siaran media cetak arus perdana yang sedia ada, maka alternatifnya penulis berkongsi nukilan melalui media sosial atau menerusi aplikasi pesanan ringkas dalam kumpulan di WhatsApp, Telegram, Line, WeChat, atau seumpamanya. Pendek kata, satu kepuasan tak terhingga apabila karya mendapat perhatian daripada para pembaca.

Lebih daripada itu, ada juga individu yang sanggup mengeluarkan modal sendiri mencetak karyanya dalam bentuk buku fizikal semata-mata untuk memperoleh kepuasan sebagai penulis. Inilah budaya baharu dalam arena pembukuan yang dikaitkan dengan penerbitan swaterbit yang semakin rancak sejak kebelakangan ini.

Antara ciri-ciri utama penerbitan swaterbit adalah usaha penghasilan karya dibiaya sendiri oleh pengarang yang terlibat. Karya-karya boleh diterbitkan secara bersendirian oleh seseorang pengarang atau secara berkumpulan dengan beberapa pengkarya yang lebih dikenali sebagai antologi, melalui genre dan tema yang sama.

Seorang penulis yang bergelar guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, Perlis, Ku Sunira Ku Johari terlibat lebih 30 projek penerbitan swaterbit sejak tahun 2019. Beliau terbabit dalam penerbitan swaterbit berikutan minat dan peluang terbuka luas dalam penghasilan karya.

Selain menjadi pengkarya dalam projek penerbitan antologi, beliau malah turut diberi kepercayaan oleh rumah penerbitan untuk memegang peranan sebagai penyelenggara dan editor.

Kata Ku Sunira, sebagai penyelenggara, beliau perlu menguruskan karya dan mengawasi agar projek berjalan dengan lancar.

“Paling penting adalah usaha untuk mendapatkan bilangan peserta dan menguruskan bayaran serta mengumpul karya mengikut tarikh yang ditentukan.

“Tugas paling mustahak bagi editor atau penyunting adalah memastikan format penulisan dipatuhi. Selain itu, penyunting juga perlu menyemak manuskrip dari segi kesalahan tatabahasa dan ejaan, sebelum ia dihantar untuk proses seterusnya,” jelasnya.

Mutu swaterbit

Penerbitan swaterbit sering dikaitkan dengan masalah mutu penerbitan dari segi percetakan, reka bentuk hinggalah kepada isi kandungan terutamanya tatabahasa dan ejaan. Bak kata sesetengah pengamal industri, ia sebagai bahan bacaan yang tidak mampu mencerminkan nilai sastera yang sebenar dan gagal mengembangkan ilmu dan bahasa dalam kalangan pembaca dan generasi akan datang.

Sambil menyangkal kenyataan itu, Ku Sunira berpendapat bahawa penerbitan swaterbit di pasaran Malaysia sudah boleh diterima bukan sahaja oleh penulis pemula, tetapi juga termasuk penulis yang sudah dikenali ramai.

“Jalan cerita menarik dan bagus dari segi bahasa kerana kebanyakan penulis datang daripada golongan profesional seperti pensyarah dan pendidik,” katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya ada kelemahan dari segi mutu karya, penyelenggara dan editor memainkan peranan penting dalam usaha memastikan karya itu berkualiti sebelum ia diterbitkan.

“Projek swaterbit ini boleh menjadi batu loncatan untuk penulis terus kekal aktif dan mencipta nama sebarisan dengan penulis yang mampan,” ujar Ku Sunira yang pernah mengikuti pengajian diploma seni dalam bidang penulisan kreatif di Institut Teknologi Seni Malaysia dan juga penerima Anugerah Ikon Seni (Kebudayaan) negeri Johor 2021.

Bekas Pengurus Program Bernama TV, Mohamad Letfee Ahmad juga pernah terlibat dalam projek penerbitan swaterbit bagi memeriahkan kegiatan penulisan dan pembukuan tanah air.

“Isu besar dalam penerbitan swaterbit ialah modal yang memberi kesan kepada kualiti buku termasuk reka bentuk dan percetakan.

“Isu lain adalah kandungan. Ada buku yang memaparkan ilustrasi yang tidak bermutu dan berulang-ulang.

“Mutu karya pun kadang-kadang dipersoalkan walaupun terdapat penglibatan penulis ternama dalam projek swaterbit.

“Penerbit dan penyelenggara juga perlu lebih telus terutama dalam soal hak cipta dan royalti. Ada penulis yang tidak diberi penjelasan mengenai hak karyanya serta royalti kerana kebanyakan karya swaterbit tidak dimuktamadkan melalui kontrak,” jelas Letfee yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Teatar Malaysia.

Gabriel Kimjuan dari Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mempunyai tiga buah buku kumpulan puisi, 81 buah buku antologi dan 100 karya eceran juga tidak ketinggalan menyertai projek penerbitan antologi swaterbit.

Beliau yang juga seorang penulis muda Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) beranggapan sumbangan besar penerbitan swaterbit adalah menjadikan seseorang penulis itu lebih mahir dan mampu bersaing secara sihat dalam medan penerbitan tempatan.

“Inisiatif seperti ini membantu dalam mewarnai corak perkembangan industri buku dengan karya yang lebih kreatif dan inovatif daripada penulis baharu,” jelasnya yang juga penerima Anugerah Aktivis Susastera tahun 2020 daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Nilai estetika

Dalam memastikan kualiti penerbitan swaterbit terjamin nilai estetikanya sama ada dari segi luaran mahupun kandungannya, Nurul Syahida Hassan, usahawan muda yang bergelar penulis menekankan perihal kepentingan mendapatkan khidmat suntingan daripada editor berpengalaman selain syarikat percetakan yang berwibawa.

“Dapatkan khidmat penyunting yang mempunyai kemahiran bahasa yang baik dan berdisiplin.

“Pastikan penyunting itu mempunyai sijil penyuntingan dan hasil kerjanya terbukti bagus. Walaupun perlu mengeluarkan belanja yang lebih, hasilnya lebih baik dan berkualiti daripada karya disunting sendiri oleh pengarang,” jelas Nurul Syahida yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Penulis dan Kebajikan Selangor (KEMUDI).

Nurul Syahida menyarankan agar penerbit menggunakan khidmat pencetak yang mapan dan terbukti kualiti melalui pengalaman percetakan mereka terdahulu.

“Banyak syarikat percetakan yang menawarkan khidmat cetakan yang murah tetapi kualiti tidak dijaga. Potongan kertas senget, lekat gam yang tidak sekata, hasil cetakan yang pudar dan ada segelintir syarikat percetakan yang cetak tangkap muat,” ujarnya yang sangat peka terhadap mutu penghasilan penerbitan swaterbit.

* Harlym Yeo ialah perunding dan penceramah pendidikan kreatif di sebuah kolej swasta di Bandar Sunway, Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!