Bukan masa untuk kecewa: Pan-gon
KETUA jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon menggesa anak buahnya segera bangkit selepas gagal memungut sebarang mata pada aksi kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 apabila tewas kepada Bahrain pada Sabtu.
Pengendali kelahiran Korea itu berkata, sekarang bukan masa anak buahnya berasa kecewa atas kekalahan tersebut, sebaliknya meminta pemain agar fokus untuk perlawanan sekaligus mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2023.
“Pemain tidak sepatutnya kecewa atas kekalahan pada perlawanan ini. Mereka perlu lupakan kekalahan ini dan yakin serta fokus untuk perlawanan seterusnya.
“Itulah cara seorang pemain profesional. Kami akan cuba capai sasaran untuk layak ke Piala Asia 2023,” katanya ketika sidang akhbar selepas perlawanan menentang Bahrain.
Pada perlawanan tersebut, pasukan Harimau Malaya terlebih dahulu berjaya merobek gawang Bahrain menerusi Mohamadou Sumareh pada minit ke-54 sebelum Bahrain menyamakan kedudukan selang dua minit kemudian.
Bagaimanapun kesilapan penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias yang menerjah pemain lawan mengundang padah apabila Bahrain dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Abdulla Yusuf Helal untuk gol kemenangan pasukannya.
Dalam pada itu, Pan-gon mengakui, ketika diminta mengulas mengenai kesilapan yang dilakukan oleh Farizal, beliau enggan memberi komen berkenaan isu tersebut, sebaliknya beliau mengakui pasukannya sedikit bergelut pada perlawanan tersebut.
“Saya tidak mahu komen mengenai kesilapan yang dilakukan. Perkara ini hanya akan dibincangkan oleh barisan kejurulatihan.
“Malam ini, pemain saya bergelut untuk bermain atas beberapa faktor. Tetapi saya tidak boleh jadikan ia sebagai alasan kerana pasukan Bahrain juga bermain dalam keadaan sama,” katanya.
Dalam masa yang sama, Pan-gon berkata, perubahan pemain yang dilakukan pada perlawanan ini sebenarnya sudah dirancang dan merupakan sebahagian daripada taktikalnya.
“Pertukaran pemain ini adalah taktikal yang sudah dirancang untuk pertemuan dengan Bahrain kerana pemain akan berasa letih apabila bermain tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!