Bekas Yang Dipertua Dewan Negara meninggal dunia
KUCHING - [DIKEMAS KINI] Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abang Ahmad Urai Datu Abang Mohideen meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak di Petra Jaya di sini kira-kira jam 12.30 tengah malam Ahad.
Berita kematian tersebut disahkan pembantu peribadi Allahyarham ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
“Jenazah Allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Jalan Muda Hashim pagi ini,” katanya.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Umat Islam Masjid Bahagian di sini selepas Zohor.
Abang Ahmad Urai, 89, merupakan Yang Dipertua Dewan Negara dari 1988 hingga 1990.
Allahyarham juga pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.
Sementara itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Abang Ahmad Urai sebagai seorang yang banyak berjasa dalam arena politik Sarawak.
Beliau berkata, Allahyarham telah terlibat dalam politik sebelum kemerdekaan dan turut menyumbang jasanya dalam parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
"Sudah tentu PBB kehilangan pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman dan secara peribadi saya kehilangan seorang ayah saudara (Allahyarham Tan Sri). Beliau di antara generasi tua yang banyak memberi nasihat kepada kita generasi muda dalam sudut bagaimana hendak berkhidmat dengan masyarakat," katanya.
Beliau yang juga Presiden PBB berkata demikian semasa menghadiri majlis Rumah Terbuka Gawai di Dewan Suarah Bau di sini pada Ahad. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!