Pusat belia bernilai RM45 juta dibangunkan di Paya Keladi

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

KEPALA BATAS - Sebuah pusat belia baharu bernilai RM45 juta akan dibangunkan di kawasan berkeluasan lebih 10 hektar di kawasan Paya Keladi di sini dan dijangka siap pada 2024.

Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kos pembinaan pusat belia itu telah diluluskan dan ketika ini ia di peringkat Kementerian Kewangan.

"Pusat belia itu mempunyai fasiliti untuk penduduk setempat beriadah termasuk sebuah stadium mini moden dilengkapi lampu limpah, padang sintetik dan trek, malah ada padang biasa untuk latihan balapan serta arena tertutup untuk sukan seperti bola keranjang dan badminton.

"Menariknya di situ ada ‘e-sport’ arena (arena sukan elektronik) yang mempunyai fasiliti bertaraf antarabangsa. Maknanya, jika ada sebarang kejohanan peringkat antarabangsa di Pulau Pinang, ia boleh dianjurkan di pusat belia ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan eSports Youth Cabin di Wisma UMNO Kepala Batas di sini malam Sabtu.

Beliau berkata, pusat belia itu juga akan dilengkapi tempat penginapan atau asrama bercirikan kabin yang dilengkapi kafe hipster.

Mengenai eSports Youth Cabin, Reezal Merican berkata, inisiatif tersebut mula digerakkan ketika beliau diberi amanah sebagai Menteri Belia dan Sukan untuk menjadikan Kepala Batas sebagai sebuah kawasan Parlimen yang mesra belia, golongan muda dan pembangunan bakat sukan akar umbi.

Menurutnya, antara kemudahan yang disediakan adalah PlayStation, komputer dengan spesifikasi permainan terkini dan studio produksi yang memberi peluang kepada golongan muda untuk mengembangkan minat sebagai pemain sukan elektronik profesional.

"Saya berharap inisiatif ini bukan sahaja menyuntik minat malah memberi galakan kepada golongan muda di sini untuk bergiat dengan lebih serius lagi dalam industri bernilai tinggi ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!