120 ambilan anggota JPJ baharu

Kumpulan Pancaragam Mega Symphony JPJ Malaysia dan mengadakan persembahan pada Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Murid SK Kedondong, Pasir Mas. Foto SINAR HARIAN
Kumpulan Pancaragam Mega Symphony JPJ Malaysia dan mengadakan persembahan pada Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Murid SK Kedondong, Pasir Mas. Foto SINAR HARIAN
A
A
A

PASIR MAS - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan pengambilan keanggotaan baharu di seluruh negara seramai 120 orang pada tahun ini.

Pengarah Akademi JPJ, Muhamad Kifli Ma Hasan berkata, mereka yang diambil akan menjalani latihan berpusat di Akademi JPJ Melaka selama tiga bulan.

“Pengambilan untuk keanggotaan JPJ seramai 120 tersebut melepasi proses ujian fizikal dan temuduga baru-baru ni.

“Mereka akan dipanggil untuk menjalani kursus asas selama tiga bulan di Akademi JPJ Melaka dan dijangka selesai pada penghujung tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Watikah Pelantikan Pemimpin Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kedondong, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Guru Besar (SK) Kedondong, Rusli Ma Hasan.

Muhamad Kifli (tiga dari kiri) menyampaikan Watikah Pelantikan Pelantikan Pemimpin kepada Ketua Pengawas SK Kedondong, Muhamad Ikmal Fikri Abdul Fatah (dua dari kiri) di Pasir Mas. Foto SINAR HARIAN
Muhamad Kifli (tiga dari kiri) menyampaikan Watikah Pelantikan Pelantikan Pemimpin kepada Ketua Pengawas SK Kedondong, Muhamad Ikmal Fikri Abdul Fatah (dua dari kiri) di Pasir Mas. Foto SINAR HARIAN

Majlis turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa Kumpulan Pancaragam Mega Symphony JPJ Malaysia yang terdiri daripada 45 anggota JPJ dari pelbagai negeri termasuk enam anggota yang mahir memainkan alat muzik bagpipes.

Katanya, jumlah pengambilan anggota JPJ yang baharu tahun ini bersamaan dengan jumlah pengambilan anggota baharu jabatan itu pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Kifli berkata, penubuhan pasukan pancaragam dalam jabatan keselamatan dan penguatkuasaan berkenaan bertujuan memupuk disiplin dalam kalangan kakitangan menerusi muzik.

”JPJ mengalu-alukan anggota jabatan ini yang mempunyai latar belakang muzik atau mempunyai minat untuk diserapn ke dalam Kumpulan Pancaragam Mega Symphony JPJ Malaysia dan mengadakan persembahan pada program-program melibatkan JPJ.

“Penglibatan anggota dalam pancaragam boleh membentuk disiplin, komitmen dan kesungguhan yang tinggi dalam kumpulan selain membentuk penyatuan dalam pasukan JPJ,” katanya.

Menurutnya, kehadiran JPJ yang turun padang ke sekolah-sekolah bertemu dengan murid turut dapat memupuk minat kerjaya golongan itu terhadap jabatan berkenaan selain memberi pendidikan dalam aspek keselamatan jalan raya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!