Wisma Putra teliti dakwaan 1,000 rakyat Malaysia mangsa 'scam' luar negara

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUANTAN - Wisma Putra sedang meneliti dakwaan Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA berhubung kemungkinan lebih 1,000 rakyat negara ini terpedaya dengan sindiket penipuan dan telah diseludup ke luar negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat mengesahkan angka itu dan menjangkakan jumlah sebenar tidak sebesar sebagaimana yang didakwa.

Beliau berkata, kes rakyat negara ini yang menjadi mangsa 'scammer' terutama melibatkan tawaran kerja di luar negara bagaimanapun memang berlaku terutama di Kemboja.

"Selain di Kemboja, ada juga kes berlaku di Australia namun ia agak berbeza.

"Dalam kes di Australia, kebanyakan rakyat kita yang di tahan pihak berkuasa negara itu kerana masuk untuk bekerja menggunakan visa pelancong dan tinggal lebih masa.

"Selain itu ada yang telah memohon suaka politik namun kedatangan mereka ke negara itu tidak dimaklumkan atau di luar pengetahuan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perasmian Kursus Asas Bahasa Isyarat Unit Orang Kurang Upaya (OKU) Parlimen Indera Mahkota dan Sumbangan Kepada Jemaah Haji di sini pada Ahad.

Saifuddin berkata, ada sesetengah kes, rakyat negara ini yang keluar ke sesebuah negara telah pergi ke negara lain menyebabkan mereka tidak dapat dikesan bila ada aduan tentang kehilangan individu tersebut.

Saifuddin menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji yang diraikan di Pejabat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Ahad.
Saifuddin menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji yang diraikan di Pejabat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Ahad.

"Walaupun terdapat Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di kebanyakan negara, namun rakyat kita di negara-negara berkenaan tidak diwajibkan untuk untuk mendaftar.

"Justeru bila ada aduan diterima berhubung kehilangan rakyat negara ini di sesebuah negara, agak sukar untuk mengesan mereka lebih-lebih lagi bila maklumat mereka tiada di negara tersebut," katanya.

Beliau berkata, sekiranya rakyat negara ini ditahan di mana-mana negara, pihak Malawakil akan dihubungi memaklumkan tentang penahanan mereka.

"Lazimnya tahanan akan dilawati pihak Malawakil bagi mengikuti perkembangan mereka di negara tersebut.

"Satu lagi isu adalah mereka yang ditahan di luar negara ada hak untuk tidak memberitahu tentang penahanan mereka kepada keluarga dan kita terpaksa akur dengan keputusan itu," jelasnya.

Sementara itu beliau mengulangi nasihat supaya rakyat negara ini lebih berhati-hati sekiranya mendapat tawaran kerja bergaji lumayan di luar negara.

Menurutnya, mereka disaran supaya membuat semakan dan pengesahan tentang syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan itu melalui Wisma Putra atau Pejabat Malawakil di negara berkenaan.

"Mereka perlu pastikan syarikat tersebut wujud dan memang menawarkan peluang pekerjaan tersebut.

"Ada sesetengah kes, syarikat tersebut memang wujud namun namanya digunakan 'scammer' untuk memerangkap mangsa melalui tawaran kerja tidak wujud," katanya.

Sebelum ini media melaporkan dakwaan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong yang menganggarkan kemungkinan lebih 1,000 rakyat negara ini terpedaya dengan sindiket penipuan dan telah diseludup ke luar negara.

Micheal Chong berkata, pihaknya menerima 74 kes membabitkan sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan di luar negara bagi tempoh Januari lalu sehingga 8 Jun lalu.

Daripada 74 kes itu, 23 individu berjaya diselamatkan dengan 11 individu berjaya kembali ke tanah air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!