Aidiladha: Negeri Sembilan benarkan ibadah korban
JELEBU - Pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha di Negeri Sembilan dibenarkan namun pemohon atau penganjur perlu membuat permohonan melalui sistem e-qurb@NS.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, prosedur operasi standard (SOP) terbaru ini membenarkan ibadah korban dilakukan di masjid, surau Jumaat serta surau di seluruh negeri ini selaras dengan suasana fasa endemik.
"Ibadah korban dibenarkan tetapi tahun ini Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembiln (JHEINS) dan Jabatan Veterinar sudah berbincang supaya menggunakan kaedah e-qurban.
"Keputusan ini dibuat antara lain supaya kita dapat memantau pergerakan di mana korban akan di buat seterusnya Jabatan Veterinar akan keluarkan permit sementara untuk tujuan tersebut," katanya selepas Mesyuarat penubuhan Parti Amanah Kampung Chenor di sini pada Sabtu.
Katanya, permohonan boleh dibuat melalui sistem e-qurb@NS mulai jam 2 petang Isnin (13 Jun) sehingga jam 4 petang 3 Julai ini.
Dalam pada itu, Bakri tidak menafikan berlaku kenaikan harga daging korban kali ini berikutan permintaan tinggi.
"Seperti biasa lah prinsip 'supply-demand' namun saya jangkakan permintaan menurun sedikit kerana kenaikan harga, ditambah faktor ibadah sunat, bukan satu kewajiban," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Bakri menjangkakan kenaikan harga daging ketika musim perayaan adalah 15 hingga 20 peratus berbanding harga asal pasaran susulan permintaan yang tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!