Parlimen Indera Mahkota bakal sedia khidmat jurubahasa isyarat

Saifuddin (duduk, dua dari kanan) mengambil peluang mengikuti kursus bahasa isyarat yang diadakan untuk kakitangan Pejabat Parlimen Indera Mahkota, Kuantan pada Ahad.
Saifuddin (duduk, dua dari kanan) mengambil peluang mengikuti kursus bahasa isyarat yang diadakan untuk kakitangan Pejabat Parlimen Indera Mahkota, Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Pejabat Parlimen Indera Mahkota bakal menyediakan khidmat jurubahasa isyarat bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran berurusan dan mendapatkan perkhidmatan agensi kerajaan.

Inisiatif itu dilaksanakan melalui penubuhan Unit OKU Parlimen Indera Mahkota.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, bagi tujuan itu, seramai 12 kakitangan pejabat Parlimen itu dipilih sebagai sukarelawan dan dihantar menjalani kursus bahasa isyarat selama tiga bulan.

"Kumpulan pertama ini diberi kursus asas di bawah kendalian dua guru bahasa isyarat dan apabila telah bersedia, khidmat mereka ini akan ditawarkan kepada masyarakat khususnya kepada golongan OKU.

"Khidmat jurubahasa isyarat itu penting bagi membantu golongan tersebut yang ketika ini berdepan masalah untuk berurusan dan mendapatkan perkhidmatan di agensi kerajaan kerana masalah komunikasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perasmian Kursus Asas Bahasa Isyarat Unit OKU Parlimen Indera Mahkota dan Sumbangan kepada jemaah haji di sini pada Ahad.

Saifuddin yang juga Menteri Luar berkata, golongan OKU pendengaran perlu dibantu memandangkan banyak kekangan yang terpaksa dihadapi dalam urusan seharian mereka terutama ketika berurusan di hospital, klinik dan pejabat-pejabat kerajaan.

"Melalui perkhidmatan jurubahasa isyarat ini, sukarelawan terlibat akan membantu mereka sekiranya diperlukan.

"Selain itu, nama-nama sukarelawan ini dan nombor telefon mereka akan dikongsi dengan agensi kerajaan terlibat seperti hospital, klinik kesihatan, balai polis, balai bomba, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi-agensi kerajaan strategik lain," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengalu-alukan penglibatan sukarelawan dalam kalangan penduduk Indera Mahkota untuk menyertai pasukan jurubahasa isyarat itu pada masa akan datang.

Sementara itu, dalam majlis sama, Saifuddin turut menyampaikan sumbangan berupa kain ihram dan kain pelikat untuk bakal jemaah haji lelaki Parlimen Indera Mahkota dan telekung serta kain batik bagi wanita.

Saifuddin berkata, sumbangan itu sebagai meraikan mereka yang terpilih menunaikan ibadah itu tahun ini.

"Allahamdulillah, tahun ini seramai 22 jemaah haji dari Parlimen ini telah terpilih dan sebahagiannya telah pun berangkat ke tanah suci," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!