Lapan cedera pokok tumbang di Gombak
KUALA LUMPUR - Lapan orang dilaporkan cedera dalam insiden pokok tumbang yang menghempap lima rumah di Batu 11, Gombak di sini hari ini.
Kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 5 petang susulan hujan lebat dan angin kencang yang mengakibatkan beberapa pokok besar tumbang di kawasan yang mempunyai lapan rumah termasuk Pondok Penyayang Raudah yang merupakan penempatan bagi golongan asnaf.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, mangsa yang cedera terdiri daripada tiga kanak-kanak dan lima dewasa, berusia tujuh hingga 40 tahun.
“Seorang daripadanya cedera akibat terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan mengenai insiden itu.
Mereka masing-masing dihantar ke Hospital Selayang, Hospital Orang Asli Gombak dan Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.
Susulan kejadian itu, 47 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli, Batu 12, Gombak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh meluangkan masa melawat mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara itu malam ini.
Pemilik Pondok Penyayang Raudah, Mohammad Bismi Adira Mokhtaruddin berkata ketika kejadian, beliau dan penghuni premis itu sedang mengadakan jamuan.
“Ia berlaku begitu pantas...angin kuat seperti puting beliung dan keadaan sekeliling bergegar sebelum pokok tumbang dan menghempap penempatan asnaf.
“Selepas keadaan reda, kami menyelamatkan mangsa yang tertimbus di bawah timbunan pokok,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau bagaimanapun bersyukur kejadian itu tidak melibatkan kehilangan nyawa.
Kerja menyelamat antara lain melibatkan tiga jentera bomba dengan kekuatan tiga pegawai dan 17 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!