B40 sertai PEKB tingkatkan pendapatan

Peserta Kursus Juru Andaman & Kecantikan dan Kursus Mobile Spa dikendalikan oleh PERSENS
Peserta Kursus Juru Andaman & Kecantikan dan Kursus Mobile Spa dikendalikan oleh PERSENS
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal meluahkan rasa syukur selepas dipilih mengikuti Kursus Juru Andaman & Kecantikan dan Kursus Mobile Spa anjuran Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Nur Hawa Mohammad Hanafiah, 42, berkata, peluang mengikuti kursus secara percuma selama satu minggu itu dianggap pembuka jalan buatnya untuk mencapai impian memiliki spa sendiri satu hari nanti.

Kongsi ibu dua anak itu, dia terus bersetuju mengikuti kursus tersebut sewaktu menerima panggilan daripada Pertubuhan Pembangunan dan Perkembangan Sosial Ekonomi Negeri Selangor (PERSENS) yang mencari peserta bagi program itu.

"Saya anggap ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan kerana sebelum ini sudah mempunyai kemahiran solekan namun belum berpeluang untuk kembangkan potensi kerana diuji ibu sakit selain dugaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketika itu tidak membenarkan aktiviti spa kecantikan beroperasi.

"Saya terus kata ya ketika terima panggilan daripada penganjur dan saya anggap ALLAH SWT beri jalan untuk saya capai impian buka spa.

"Siapa tak gembira dapat ikuti kursus percuma kerana sebelum ini saya perlu bayar RM5,600 untuk ikuti program jangka pendek sebagai jurumekap, jadi ini peluang yang tidak boleh dilepaskan," katanya.

Dari kiri: Nur Hawa, Jeenath Begam
Dari kiri: Nur Hawa, Jeenath Begam

Dia berharap, peserta mengikuti kursus itu diberikan program lanjutan secara berterusan bagi membolehkan mereka mendalami dan meningkatkan lagi kemahiran dalam bidang tersebut secara profesional.

Seorang lagi peserta, Jeenath Begam Abdul Rahman, 47, turut merebut peluang mengikuti kursus yang ditawarkan itu kerana beranggapan bidang tersebut mempunyai potensi besar menjana pendapatan.

"Sekarang walaupun sudah berumur tetapi semua mahu cantik menyebabkan saya mengambil peluang mengikut kursus ditawarkan untuk peluang tambah pendapatan.

"Buat masa sekarang saya berniaga makanan bersama ibu dan selepas tamat kursus ini saya bercadang untuk memahirkan lagi urutan spa dalam kalangan keluarga dan kenalan rapat sebelum perluaskan kepada pelanggan lain," katanya.

Jeenath Begam turut berhasrat membuka pusat rawatan spa sendiri apabila mempunyai modal dan kemahiran mencukupi kelak.

Dr Suffia Hany memberikan ilmu kepada peserta kursus.
Dr Suffia Hany memberikan ilmu kepada peserta kursus.

Sementara itu, Presiden PERSENS, Dr Suffia Hany Mohd Amin berkata, seramai 40 wanita terdiri dalam keluarga B40 dalam senarai e-Kasih dipilih mengikuti kursus tersebut yang dibiayai sepenuhnya oleh KPKT.

"40 peserta ini diberikan modul pengajaran bersifat menyeluruh dengan jadual padat termasuklah kelas motivasi membentuk usahawan, pengurusan kewangan, teori serta praktikal daripada tenaga pengajar berpengalaman.

"Program ini merupakan penganjuran kali kedua selepas tahun lepas. Peserta akan diberikan bimbingan selama enam bulan selain diberikan peralatan untuk memulakan perniagaan bagi membantu mereka menjana pendapatan," katanya.

Katanya, sambutan yang diterima juga menggalakkan susulan kebanyakan daripada peserta terdiri dalam kalangan yang terjejas pendapatan dan hilang pekerjaan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika awal pandemik Covid-19.

Praktikal melibatkan peserta yang mengikuti kursus PEKB bagi bantu wanita jana pendapatan.
Praktikal melibatkan peserta yang mengikuti kursus PEKB bagi bantu wanita jana pendapatan.

"Pada mulanya saya buat servis di Francsuffia namun terpanggil untuk membantu wanita bangkit susulan ramai hilang pekerjaan pada PKP lalu termasuk perniagaan merosot, ditambah pula dugaan banjir kilat melanda Lembah Klang Disember lalu.

"Mobil spa yang ditawarkan ini tak perlukan kos tinggi untuk buka perniagaan dan upah pekerja sebaliknya mereka boleh jana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan jika konsisten melalui ilmu yang diberikan ini.

"Kemudian apabila mereka sudah mahir dan mempunyai kewangan, mereka boleh mengorak langkah untuk buka perniagaan sendiri dan kita akan beri bimbingan serta bantu mereka dapatkan pinjaman bagi memulakan perniagaan," katanya.

Beliau berharap, kursus yang dibiayai kerajaan itu dapat dimanfaatkan oleh peserta untuk jana pendapatan dan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan dan menjadi wanita berjaya satu hari nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!