PBS bolehkan pelajar belajar dalam keadaan baik, kembang kemahiran

PBS membolehkan pelajar belajar dalam keadaan yang baik dan mengembangkan kemahiran diri mereka. Gambar kecil: Hang Soon
PBS membolehkan pelajar belajar dalam keadaan yang baik dan mengembangkan kemahiran diri mereka. Gambar kecil: Hang Soon
A
A
A

IPOH - Kaedah pembelajaran baharu menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) membolehkan pelajar belajar dalam keadaan yang baik sekali gus dapat mengembangkan kemahiran diri mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, setiap pelajar mempunyai kemahiran diri yang perlu dikembangkan.

"Saya percaya dengan pemansuhan PT3, ia membolehkan anak-anak belajar dalam suasana yang gembira selain dapat menepati falsafah dengan perkembangan kemahiran masing-masing.

"Sudah tentu walau apa pun sistem pembelajaran yang kita aplikasi, semuanya tidak sempurna, jadi kita tidak mahu mereka (pelajar) terkongkong dengan latih tubi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Penyelaras Barisan Nasional (BN) Ipoh Barat di Wisma Ehsan di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Ketua Penyelaras MCA berkata, penilaian menerusi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) mampu memberi indikasi tepat bagi pencapaian dan kelemahan pelajar.

"Apa yang penting adalah bagaimana kita hendak menerapkan nilai murni berdasarkan tiga komponen itu dalam kalangan pelajar. Pihak sekolah perlu mengadakan lebih banyak sesi penerangan kepada ibu bapa agar mereka lebih memahami,” tambahnya.

Pada 2 Jun lepas, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan ujian PT3 yang diperkenal pada 2014 dimansuhkan mulai tahun ini. PT3 sebelum ini tidak dilaksana pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik Covid-19. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!