Gunung berapi Filipina meletus lagi
MANILA - Gunung berapi yang terletak kira-kira 600 kilometer (km) ke tenggara ibu negara Filipina memuntahkan debu pada Ahad pagi, seminggu selepas kejadian sama berlaku yang memaksa pihak berkuasa meningkatkan paras amaran kepada tahap satu dan memindahkan penduduk.
Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina memaklumkan, pihaknya mengesan satu lagi letusan melibatkan gunung berapi Bulusan di wilayah Sorsogon pada 3.37 pagi Ahad, lapor Xinhua.
"Letusan itu berlaku selama 18 minit berdasarkan rekod seismik tetapi tidak kelihatan dalam monitor kamera," menurut institut itu.
Pada 5 Jun, pihak berkuasa telah memindahkan lebih 200 penduduk yang tinggal berhampiran selepas ia mengeluarkan kepulan asap setinggi 1km.
Tahap amaran gunung berapi itu kekal satu pada skala lima, bermakna gunung berapi itu masih 'berbahaya'.
Institut itu menggesa orang ramai supaya menjauhi 'zon bahaya' sepanjang 4km dan menasihatkan juruterbang supaya tidak melakukan penerbangan dekat dengan puncak gunung berapi.
Gunung berapi Bulusan merupakan satu daripada gunung berapi paling aktif di Filipina.
Pada Januari 2018, gunung berapi itu memuntahkan abu setinggi kira-kira 2.5km. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!