Rombak sistem tangani isu bekalan, harga makanan
SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera mencari jalan penyelesaian baharu dengan merombak sistem atau peraturan sedia ada termasuk daripada segi penguatkuasaan agar isu harga dan kekurangan barangan keperluan utama di pasaran tidak terus berlaku.
Setiausaha Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Dr Zulkifli Abdul Aziz berkata, masalah itu tidak akan berakhir selagi ada pihak yang tidak bertanggungjawab dibiarkan berleluasa tanpa tindakan tegas.
Ia sekali gus memberi peluang pihak tertentu untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan dengan menjadikan apa jua kelemahan yang terdapat pada sistem atau peraturan sedia ada sebagai jalan untuk mereka mengawal harga.
“Setiap tahun, ada sahaja permasalahan yang berlaku berkaitan harga barangan dan pada masa sama timbul pula kekurangan barangan keperluan. Rakyat sebenarnya sudah bosan dan akan menganggap kerajaan gagal menyelesaikannya kerana merekalah golongan yang paling terkesan.
“Saya melihat satu pelan tindakan yang lebih berani serta drastik perlu dirangka dan dikuatkuasakan melibatkan rombakan sistem sedia ada.
“Rakyat sudah tidak mahu mendengar lagi masalah kerana kerajaan sering menjanjikan keperluan barangan utama mencukupi dan harga siling pun telah ditetapkan termasuk barangan seperti ayam dan minyak masak tetapi kita lihat ada sahaja pihak seperti orang tengah yang sering mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Zulkifli, apabila barangan keperluan berkurangan di pasaran, secara langsung menyebabkan ia menyebabkan kenaikan harga barangan dan ia seolah-olah menggambarkan orang tengah berjaya mengawal harga barangan keperluan utama.
Justeru, sesuatu perlu dilakukan walaupun sudah ada langkah yang dibuat seperti memansuhkan lesen import tetapi rakyat menganggap semua itu belum mencukupi untuk menangani masalah ini.
“Selain penguatkuasaan tegas dan berani, langkah lain yang boleh difikirkan adalah membuka peluang perniagaan yang lebih luas seperti menghasilkan sendiri barangan keluaran tempatan termasuk penyediaan makanan untuk haiwan ternakan.
“Kita ada universiti yang pakar dalam kajian menghasilkan makanan ternakan dan sebagainya, kita ada badan bukan kerajaan dan persatuan pengguna yang sedia membantu kerajaan. Jika semua ini digembleng saya yakin ia akan dapat menyelesaikan isu harga barangan keperluan serta yang berkaitan dengannya,” ujarnya.
Zulkifli menambah, isu harga barangan tidak akan selesai selagi permasalahan di peringkat akar umbi tidak diselesaikan terlebih dahulu.
Beliau yakin bahawa kerajaan telah melakukan yang terbaik selama ini namun dalam situasi tertentu, usaha perlu dilipatgandakan supaya rakyat tidak terus terkesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!