Gesa PM campur tangan isu pengambilan tanah Kampung Baru

Dari kiri: Muhammad Asyraf, Khalid dan Azlan Mustafa ketika sidang media di Pusat Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini pada Ahad.
Dari kiri: Muhammad Asyraf, Khalid dan Azlan Mustafa ketika sidang media di Pusat Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini menggesa campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghentikan pihak pemaju daripada mengambil tanah mereka.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pihak Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) sepatutnya menjadi orang tengah antara penduduk dengan pemaju ketika rundingan diadakan pada awal Jun lalu.

Namun sebaliknya Khalid berkata, PKB mewakilkan pihak pemaju yang tidak hadir ke sesi libat urus tersebut, malah memberikan tawaran yang rendah kepada penduduk, menyebabkan mereka tidak berpuas hati.

Menurutnya, tindakan PKB yang menjadi wakil kepada pemaju adalah tidak betul dan ia menimbulkan banyak persoalan kepada para penduduk di sini.

"Kita tahu perintah pengosongan yang menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) adalah isu yang dipertikaikan (oleh penduduk), mengapa kerajaan ambil tanah dan rumah penduduk untuk diserahkan kepada pemaju.

"Ini satu persoalan yang hingga kini tidak dijawab. Ini bukan projek kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru, pemaju yang nak beli, guna akta itu pun dah timbulkan banyak persoalan.

"Projek yang dibuat oleh pemaju adalah projek swasta, kenapa kerajaan masuk campur," katanya ketika sidang media di Pusat Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Khalid turut memaklumkan pihaknya membentuk satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada para peguam untuk mengkaji isu tersebut dari sudut perundangan, sekaligus menghalang serta mencabar keputusan pewartaan tersebut.

Selain itu, Khalid akan membuat laporan polis dan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat kerana beliau mendakwa ada isu rasuah dalam kes tersebut.

Khalid (tiga dari kanan) bersama para penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini pada Ahad.
Khalid (tiga dari kanan) bersama para penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini pada Ahad.

"Saya rasa pihak SPRM perlu ambil tahu apa yang sedang berlaku, tidak mustahil bila kita nampak kerajaan begitu ghairah, ada gejala rasuah kerana tiada alasan untuk (kerajaan) campur tangan dan halau penduduk yang merupakan penduduk sah.

"Rundingan perlu dijalankan secara biasa, tarik semula warta ini. Biar pemaju runding dengan pemilik seperti biasa, kerajaan jangan masuk campur.

"Ini projek pembangunan swasta, jadi berilah hak mereka (penduduk). Ini harta yang mereka perolehi, milik ibu bapa dan nenek moyang mereka, tinggal di sini bertahun-tahun, tiba-tiba kamu (kerajaan) nak usir demi pemaju," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru, Muhammad Asyraf menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap nilai pampasan sama yang diberikan sebelum ini, iaitu sebanyak RM1,500 kepada penduduk ketika mesyuarat libat urus pada awal Jun lalu.

Ujarnya, sesi tersebut juga merupakan satu usaha yang sia-sia apabila ia tidak dihadiri oleh pihak pemaju yang ingin membuat projek pembangunan di sini.

"Tiada penambahbaikan seperti yang dijanjikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Jadi kami ingin menyuarakan rasa tidak puas hati kerana benda sama ditawarkan walaupun telah berbincang dengan menteri tersebut, tapi tidak seperti yang dikatakan," katanya.

Bagi ahli jawatankuasa lain, Azlan Mustafa pula menyifatkan sikap pemaju yang menggunakan pihak PKB bagi mewakilkan mereka sebagai perbuatan baling batu, sembunyi tangan.

"Pihak PKB diamanahkan untuk membantu penduduk malah berpihak kepada pemaju, Mereka juga tidak bawa suara penduduk, sepatutnya jadi orang tengah.

"PKB sepatutnya memantau pembangunan di seluruh Kampung Baru, tapi kalau ini yang terjadi, saya amat bimbang dengan nasib kawasan sini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!