Ler Qi sambar gelaran berganda JET 2022

Ler Qi memenangi acara perseorangan dan beregu perempuan B-16 pada Pusingan Kedua Kejohanan Badminton 100Plus JET 2022.
Ler Qi memenangi acara perseorangan dan beregu perempuan B-16 pada Pusingan Kedua Kejohanan Badminton 100Plus JET 2022.
A
A
A

PEMAIN perseorangan perempuan Bawah 16 tahun (B-16) Selangor, Eng Ler Qi muncul juara kali kedua berturut turut pada Pusingan Kedua Kejohanan Badminton 100Plus Jelajah Remaja Elit (JET) 2022.

Ler Qi yang juga juara ketika Pusingan Pertama Kumpulan A pada Mei lalu menepati ramalan untuk muncul juara dalam aksi final ketika menentang wakil Melaka, Shaneesa Shahidi, straight set 21-12, 21-16.

Lebih manis, dia meraih kejuaraan berganda pada kejohanan yang berlangsung di Akademi Badminton Perak, Ipoh pada Ahad selepas turut muncul juara dalam acara beregu perempuan B-16.

Ler Qi yang bergandingan bersama Shan Lee Yu mudah menundukkan rakan seperjuangan, Chow Hui Er-K Reesha straight set 21-17, 21-14.

"Saya bermain dengan lebih tenang dan kawal cara serangan sepanjang perlawanan. Sudah tentu gembira dapat pertahan kejuaraan untuk kali kedua tetapi juga perlukan latihan terutama permainan di jaring," kata Ler Qi.

Sementara itu, aksi perseorangan lelaki B-16 diungguli pemain Selangor, Shawn Hiu yang menundukkan Yap Chun Sin 22-20, 21-8.

"Saya agak gemuruh di awal set dan banyak melakukan kesilapan dan dibantu dengan beberapa pukulan bertuah. Di set kedua lawan semakin perlahan dan saya manfaatkan peluang ini.

"Kemenangan ini saya tujukan kepada ahli keluarga, barisan kejurulatihan yang sentiasa menyokong sepanjang kejohanan," ujar Shawn.

Perak selaku tuan rumah turut meraih satu pingat emas menerusi beregu lelaki yang dimenangi Fan Jing Xuan-Muhd Al-Imran Jasni selepas menang ke atas rakan sepasukan, Loh Chee Kiat-Rex Ng Man Hei 21-16, 21-16.

Aksi final B-14 menyaksikan perseorangan perempuan, Teh Xin Ying meraih kejuaraan berganda sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya ketika 100Plus Jet Pusingan Pertama Kumpulan A pada Mei lalu.

Xin Ying mempertahankan kejuaraan perseorangan perempuan selepas menundukkan rakan sepasukan yang juga pilihan kedua, Teoh Sue Mei 21-8, 21-10.

Gandingan Teh Xin Ying bersama Wong Au Mei sekali lagi cemerlang apabila menghadiahkan kejuaraan kedua selepas menang ke atas pilihan kedua dari Selangor, Chan Zhi Xuan Annabelle-Lim Yew Ern 21-9, 21-15.

Perseorangan lelaki B-14 menjadi milik pemain Selangor, Tiew Yi Cheng yang menundukkan Wan Muhd Darwisy Wan Hadelee 17-21, 21-14, 21-19.

Yi Cheng sekali lagi cemerlang apabila meraih kejuaraan kedua selepas gandingannya bersama Tiew Wei Jie menang ke atas Darwisy dan Muhd Sahreezwan Shahidi 21-13, 21-12 dalam aksi beregu.

Perseorangan lelaki B-12 dimenangi pemain Kelantan, Khairul Azlan Khashah yang menundukkan Murali Desan Vishnu Adittya 21-12, 21-19 manakala juara perseorangan perempuan milik Siti Nor Amina Abdullah (Selangor) yang mengatasi rakan sepasukan, Ho Wen Jie 21-12, 21-16.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!