Dua gol Haaland bantu Norway tewaskan Sweden
PENYERANG baharu Manchester City, Erling Haaland menjadi watak penting ketika Norway menewaskan Sweden 3-2 pada aksi Liga Negara-Negara dekat Stadium Ullevaal di Oslo awal pagi tadi.
Pemain berusia 21 tahun itu berjaya meledak dua jaringan selain turut membantu kepada penghasilan gol ketiga Norway.
“Saya tidak tahu apa yang saya mahu katakan ketika ini.Ini kali pertama saya bermain di depan penonton yang penuh dekat Ullevaal.
“Untuk menang menentang Sweden pada perlawanan terakhir musim ini, ia merupakan sesuatu yang indah buat diri saya dan juga pasukan,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, Haaland berjaya meletakkan Norway di hadapan seawal minit ke-10 apabila menanduk masuk hantaran lintang Fredrik Bjorkan.
Memasuki babak kedua, Haaland sekali lagi berjaya mencatat nama sebagai penjaring pada perlawanan tersebut menerusi sepakan penalti pada minit ke-54 selepas Hjalmar Ekdal mengasari Alexander Sorloth.
Bagaimanapun, Sweden bangkit untuk membalas lapan minit kemudian apabila Emil Forsberg meledak hasil hantaran Dejan Kulusevski.
Haaland sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Sweden apabila membantu Sorloth untuk menjaringkan gol buat Norway sekali gus mengekalkan kelebihan dua gol tuan rumah selepas 77 minit.
Sweden berjaya mendapat gol kedua mereka pada minit akhir perlawanan menerusi Gyokeres, namun ia tidak cukup untuk menidakkan kemenangan Norway.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!