Pindah kredit kupon parkir ke aplikasi SSP
KUALA LANGAT - Orang ramai yang masih mempunyai nilai kredit pada kupon parkir yang belum tamat tempoh boleh memindahkan baki terbabit ke aplikasi Smart Selangor Parking (SSP).
Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata, orang ramai boleh berbuat demikian sebelum 30 Jun ini.
Menurutnya, pengguna perlu hadir ke Bahagian Tempat Letak Kereta MPKL Jalan Suasa, Banting bagi proses pemindahan kredit itu.
"Anda masih mempunyai kupon gores parkir yang masih belum digunakan? Jangan biarkan ia luput dan tidak boleh digunakan. Tukarkannya menjadi nilai kredit di aplikasi SSP anda.
"Sebarang pertanyaan boleh hubungi Bahagian tersebut melalui talian 03-31811809 atau 012-300 4897," menurut kenyataan di Facebook MDKL pada Isnin.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han memberitahu, kerajaan Selangor mula melaksanakan pembayaran parkir secara digital menerusi aplikasi SSP dan menamatkan penggunaan kupon parkir manual.
Tempoh percubaan telah bermula sejak Januari lalu dengan lebih 1.5 juta orang telah memuat turun aplikasi tersebut.
Peralihan kepada sistem digital tersebut dijangka dapat menjimatkan sejumlah 634,994 kilogram kertas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!