Buruh didakwa rogol anak kandung
PASIR MAS - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas pertuduhan merogol anak kandungnya di Tanah Merah, dua minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan ke atas buruh berusia 39 tahun itu dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah, Rozaidi Yaakob,
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol gadis berusia 14 tahun tersebut di sebuah rumah di Tanah Merah pada jam 12 tengah malam pada 31 Mei lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2) kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum 10 tahun atau maksimum 30 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, Ahmad Syafiq tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh didakwa di bawah pertuduhan yang serius dan mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Ogos depan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Pasir Mas.
Media sebelum ini melaporkan seorang buruh ditangkap selepas dipercayai merogol anak kandung yang kini berusia 14 tahun di rumah di Tanah Merah sejak empat tahun lalu.
Suspek ditahan selepas remaja itu dan guru kaunseling di sekolahnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada jam 11.55 pagi pada 31 Mei lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!